Surat Terbuka Berkenaan Seminar Syiah di UKM
Seminar ini berpotensi menjadi medan menyemai kebencian dan hasutan terhadap sebuah komuniti yang memegang fahaman agama minoriti.
Aliran, Churches of Malaysia Youth Network, Komuniti Muslim Universal, North-South Initiative, Proham, Projek Dialog, Suaram
Kepada:
YBhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar, FASc, FMIC Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi)/ Timbalan Naib Canselor (Kajian dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia,
Kami ingin menyatakan kebimbangan kami tentang Seminar Antarabangsa Gerakan Syiah dan Kesannya Terhadap Dunia Islam yang telah diadakan pada hari Khamis, 21 April 2016 – di DECTAR, UKM antara 8 pagi sehingga 5.30 petang.
Seminar ini berpotensi menjadi medan menyemai kebencian dan hasutan terhadap sebuah komuniti yang memegang fahaman agama minoriti. Ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia berdasarkan Pelan Tindakan Rabat.
Kami merujuk kepada Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai panduan bagi mengenalpasti apakah yang wajar dianggap sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan bezanya dengan ruang serta batasan ‘kebebasan bersuara’.
Apakah saranan Pelan Tindakan Rabat?
Pertamanya, ia menyediakan dasar serta panduan untuk kerajaan dan masyarakat awam bagi mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan batasan dalam ‘kebebasan bersuara’, di mana ia mampu menyebarkan kebencian terhadap agama secara kolektif (sila rujuk Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights, 2012 – Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR), halaman 6-7).
Berdasarkan itu kami khuatir bahawa forum tersebut telah dijalankan tanpa rujukan atau penglibatan ahli panelis yang mampu memberi pandangan objektif terhadap fahaman aliran Syiah, atau mengadakan dialog silang agama tanpa menjadikannya satu isu politik atau sebuah kempen yang mengecam dan meminggirkan sebuah kepercayaan minoriti.
Seyogia diingatkan, Universiti Kebangsaan Malaysia bercita-cita untuk menjalinkan hubungan baik, dan menjadi contoh dalam hak asasi manusia melalui kerjasama erat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Pada 12 April 2016 lalu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah menandatangani MoU di antara UKM dan SUHAKAM untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, rundingan, pembangunan dan promosi hak asasi manusia.
Kami dengan itu menyarankan Universiti Kebangsaan Malaysia supaya mencontohi Universiti Malaysia Sabah yang telah membatalkan satu program yang menampilkan, kononnya, seorang bekas paderi, Ustaz Ayub Abdul Rahman. Timbalan Naib Canselor universiti berkenaan iaitu Prof Madya Dr Ismail Ali bertindak wajar dengan memeriksa latar belakang penceramah tersebut, yang ternyata berbohong tentang kisahnya sebagai seorang paderi di Jerman.
Adalah dikhuatiri seminar ini akan merangsang konflik yang mencetuskan krisis sektarian, dan berkemungkinan mendatangkan kesan negatif terhadap pelajar-pelajar antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia yang bermazhab Syiah, khusus dari Iran dan Iraq.
Makalah Abd Hair Awang, Zaimah Ramli dan Izzurazlia Ibrahim pada tahun 2012, yang bertajuk Faktor Tarikan Pelajar Siswazah Antarabangsa Ke Universiti Penyelidikan Di Malaysia (Malaysia Journal of Society and Space 8, Issue 6, halaman 32-41) menyatakan; “Analisis terhadap maklumat tentang pelajar siswazah antarabangsa yang mengikut pengajian pascasiswazah di UKM menunjukkan bahawa pelajar dari Timur Tengah paling tinggi mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (42.9 %) dan sarjana (46.5 %) khususnya dari negara Iran dan Iraq.” Pihak atasan UKM wajar mengambil kira hasil dapatan pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan & Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia di atas.
Di bawah tanggungjawab universiti untuk menjaga kebajikan pelajarnya serta menjana pendapatan, sebarang kecaman atau stigma terhadap kepercayaan agama tertentu tidak akan mendatangkan faedah malah hanya merugikan serta mewujudkan risiko jangka masa panjang.
Sekian, Terima Kasih
Aliran
Churches of Malaysia Youth Network
Komuniti Muslim Universal
North-South Initiative
Proham
Projek Dialog
Suaram