Husam menangis apabila dipecat dari PAS


husam musa

(Perak Today) – Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengakui beliau menangis apabila mendapat tahu bahawa beliau dipecat daripada parti itu.

Husam memaklumkan, sehingga waktu beliau memuatnaik status di Facebook beliau, beliau masih belum menerima makluman rasmi mengenai isu pemecatannya.

“Menerusi (aplikasi) Whatsapp dan SMS, saya dikhabarkan oleh sumber-sumber tidak rasmi, saya telah dipecat dari PAS pada hari ini. Tanpa saya sedari, air mata saya menitis. Sebak bercampur pilu.

“Sehingga waktu ini, saya belum menerima pemakluman rasmi mengenainya (pemecatan beliau),”ujarnya.

Berikutan itu, Husam berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat pemakluman rasmi mengenai tindakan yang diambil ke atas beliau.

Beliau berkata, disebabkan masih belum mendapat makluman rasmi, beliau akan tetap hadir ke mesyuarat agung PAS Kawasan Kubang Kerian yang dijadualkan esok.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok berkata, Jawatankuasa Tatatertib PAS telah meneliti aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mempertimbangkan kes dari setiap aspek, satu perbincangan telah diadakan di peringkat jawatankuasa pada 23 April lalu.

Ujarnya, Jawatankuasa Tatatertib mendapati Husam telah melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82 (1)(b), (c), (d), (e) dan (f).

Berikutan itu, Jawatankuasa Tatatertib dengan sebulat suara bersetuju untuk memecat Husam daripada menjadi ahli PAS,katanya.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang pucuk pimpinan parti termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara PAS dan UMNO.



Comments
Loading...