Pas Perak setuju tetapi bersyarat


Razman Zakaria

(Sinar Harian) -Pas boleh kembali bekerjasama dalam satu pakatan sekiranya parti pembangkang menghormati ideologi dan prinsip Islamik yang dipegang oleh parti itu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, ia ditekankan kerana pakatan yang diwujudkan parti pembangkang sebelum ini tidak menitikberatkan perkara tersebut.

“Boleh (kerjasama) tapi kami tak mahu ada pihak yang tidak menghormati prinsip dan ideologi Pas. Kalau mereka tak boleh terima, macam mana nak sepakat, macam mana nak menuju PRU14,” katanya.

Menurutnya, perpecahan dalam kalangan parti pembangkang berlaku secara nyata selepas Pakatan Harapan ditubuhkan melalui kerjasama DAP, PKR dan Amanah.

“Mereka tubuhkan Pakatan Harapan dan dari situ umum boleh lihat berlaku ketidaksepakatan antara parti pembangkang,” katanya.

Mengulas pemecatan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa daripada parti berkuat kuasa 23 April lepas, beliau berkata, keputusan itu tepat memandangkan Adun Salor itu lantang mengkritik kepimpinan Pas secara terbuka.

“Jawatankuasa Tatatertib Pas bukan bertindak membabi buta sebaliknya berdasarkan laporan yang diterima membabitkan salah laku Husam,” katanya.

Katanya, keputusan itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan kerana parti sedang menunggu surat rayuan daripada Husam.



Comments
Loading...