Warkah dari penjara: Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Saudara-saudara, presiden, timbalan dan rakan-rakan pimpinan yang dikasihi.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Permasalahan yang akan saya utarakan perlu dilacak dan diteliti dengan tenang. Intipati gagasan tidak tersasar dari dasar perjuangan dan konsisten dengan nada lakaran sebelumnya. Kekhuatiran saya adalah jika saudara-saudara sekadar mendengar dengan hormat tetapi gagal membenahinya.
Dalam sejarah perjuangan kita, terdapat episod getir yang menuntut bongkahan pemikiran dan penyuluhan. Permasalahan kini terkait dengan Deklarasi Rakyat yang turut mengheret pimpinan dan wadah kita untuk bersekongkol dengan Tun M dan Daim.
Pandangan saya mungkin bercanggah dengan pendirian majoriti pimpinan. Saya gusar kerana mengandaikan strategi tersebut agak terlanjur dan menggugat sendi nadi dan tunggak perjuangan. Kita perlu menghindari dari bahaya terjebak dengan permainan elit penguasa dan muslihat licik mereka untuk mengekalkan sistem usang. Kendati begitu, ramai rakan-rakan merasakan bahawa strategi baru tersebut ampuh dan terbaik.
Ia dikatakan berjaya memberikan lonjakan baru dengan penggemblengan semua kekuatan yang mungkin untuk menumbangkan Datuk Seri Najib selaku perdana menteri dan selanjutnya menjana perubahan. Mereka yakin untuk mengawal keadaan dan mengelak dari berlakunya sebarang penyimpangan. Pertembungan idea di kalangan kita mengusutkan memang perlu dirungkai tanpa mengundang perbalahan atau persengketaan peribadi.
Saya amalkan pendirian yang sama tatkala menyingkap inisiatif penandatangan akuan bersumpah bersama Tengku Razaleigh yang kini terkubur. Saya dan pimpinan telah memberikan persetujuan meskipun saya pohon kewaspadaan untuk kembali menegakkan dasar dan khittah perjuangan.
Kita juga tidak wajar mengungkit kebijaksanaan pimpinan menyertai dan menandatangani Deklarasi Rakyat (DR). Dalam beberapa warkah sebelumnya, saya terus menggesa pimpinan agar waspada dengan politik elit penguasa dan keperluan mempertahan dasar perjuangan. Persoalan sekarang adalah menentukan hala tuju seterusnya.
Saya lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok DR, yakni dengan mula menetapkan jarak. Di sebaliknya kita perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang kita gendong selama ini. Kelompok DR, termasuk Tun M mungkin saja menyertai program tersebut tetapi perlu ketara agenda perubahan dan bukan DR. Izinkan saya jelaskan selanjutnya:
Saya pernah mempersoalkan dengan penuh kesangsian – ketika perbualan ringkas di mahkamah berkenaan mengapa kesungguhan kempen untuk mengangkat deklarasi yang menafikan kepentingan moral untuk reformasi terhadap demokrasi yang beramanah democratic accountability? Terima kasih kerana maklum balas segera dan nota-nota penjelasan.
Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi. Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun M, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi.
Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!
Pimpinan dilihat seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani setelah pengunduran Najib. Ini mengingatkan kembali kepada komplot ‘penguasa elit’ yang saya terangkan sebelum ini. Ia adalah secara jelas menguntungkan yang kaya dan yang berkuasa manakala rakyat akan terus dipinggirkan. Kita hanya baru sahaja terlibat dengan ‘akuan bersumpah – kemelut SD’. Jaminan yang sama diberikan secara tertutup.
Dan dalam keterujaan atau keterdesakan untuk mengubah tampuk kepimpinan negara, kita berikan komitmen. Sekarang ia menjadi bahan sindiran dan memalukan, khususnya apabila Ku Li sendiri menafikan keterlibatan beliau dan menganggap rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal. Beliau licik mempergunakan SD ini untuk meletakkan diri beliau sebagai calon kompromi apabila berlaku pertembungan atau kebuntuan antara Zahid dan Hisham. Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat.
Dan kini, meneruskan gerakan tersebut, yang dipimpin oleh mereka daripada kelompok penguasa atau pemerintah, kita bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada usaha baru ini, digambarkan seolah-olah sebagai strategi inklusif – rakyat. Hanya satu penjelasan yang boleh diterima iaitu tindakan terdesak. Kita terdesak untuk angka sokongan – yang sebenarnya adalah demi kepentingan dalam politik tanpa sekelumit rasa bersalah.
Kita kena berlaku jujur. Kita terlibat dalam kedua-dua inisiatif dan bersetuju agar Johari Abdul mewakili kita dalam inisiatif SD manakala Azmin Ali, Tian dan Rafizi menyertai dalam inisiatif DR. Tetapi saya sentiasa mengelak daripada menggunakan terma menyokong dan komitmen. Ia meresahkan untuk melihat pimpinan kita menjadi sebahagian daripada pasukan dengan seorang pemimpin yang zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan!
Seorang peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal. Walaupun dengan kepetahan Azmin, Ambiga dan Mat Sabu yang lantang dan meyakinkan, pengolahan agenda reformasi hanya menjadi isu sampingan.
Jangan terpedaya dengan menganggap kenyataan-kenyataan mengutuk kezaliman yang melampau ketika waktu pemerintah Tun M akan mampu mengajak beliau untuk melakukan perubahan yang sistematik. Beliau terkenal dengan kecekalan, begitu tertumpu dengan agenda beliau yang sukar digugat. Ketakutan yang sentiasa menghantui diktator dan autokrat adalah pendedahan jenayah-jenayah yang dilakukan dan berbilion-bilion wang yang dicuri.
Sifat ihsan dan berlapang dada terhadap Tun M tidak pernah dihargai. Bukan sahaja tidak menyesal, beliau menunjukkan sifat terkutuk dalam diri beliau dengan meneruskan serangan peribadi. Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.
Malangnya, ini hanya akan meyakinkan beliau untuk tidak rasa bersalah terhadap kerosakan dan pembaziran yang berlaku ketika zaman beliau. Gayanya seperti telah beralih dari menafikan kepada menghapuskan kesalahan lampau! Azizah dan saya merasakan keperluan untuk membantah sebagai prinsip kami dan mempertahankan maruah. Kenyataan kami merujuk kepada pemerintahan autokratik, keperluan untuk wacana menyeluruh bukan seperti pendekatan diktator beliau.
Pandangan kami, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut.
Seterusnya pimpinan NGO telah membuat pendirian yang tegas kepada Tun M; walaupun secara peribadi berbanding dengan Tun M yang sentiasa memberi pandangan secara terbuka. Selepas itu penjelasan dibuat bagi perkara yang tidak mempunyai apa-apa perubahan; iaitu majoriti ahli Parlimen akan menentukan calon perdana menteri yang baru.
Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh.
‘The best lack of all conviction,
whilst the worse
Are full of passionate intensity’ [William Butlers Yeats]
‘Yang baik tidak yakin dengan kebaikan,
Manakala yang buruk
Tegar dengan tumpuan sepenuh jiwa mempertahankan keburukan [WB Yeats, penyair dari Ireland]
Berhati-hati dengan Machiavellians yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada kroninya.
Kita mengangkat diri kita sebagai mempunyai jiwa yang besar, didorong semata-mata demi kepentingan negara. Apa yang hilang daripada benak pemikiran kita adalah keadaan sebenar yang tatakelola dalam kerajaan telah dimusnahkan dan apa yang membimbangkan adalah tiadanya rasa menyesal dan tiada kesungguhan menyokong reformasi.
Kedua-dua Tun M dan Daim merupakan dalang dan begitu agresif mempertahankan kroni kapitalisme. Melalui proses yang tempang dan korup penjana bebas elektrik IPP dianugerahkan, projek lebuh raya diswastakan, barangan keperluan dimonopoli oleh kroni-kroni. Ianya amat jelas mempergunakan dan membebankan rakyat. Kerakusan ini tidak terhenti dengan pemerintahan mereka dan kesan kerosakannya masih dirasai sehingga kini.
Saudara mungkin dapat rasakan pendirian saya yang semakin tegas setelah pendekatan berjiwa besar dan berdamai yang mana pada awalnya seperti kebanyakan di kalangan saudara, saya agak naif menjangkakan Tun M akan lebih terbuka kepada perubahan. Beberapa siri perbincangan dengan pimpinan PH dan NGO tidak berjaya merubah atau menghalang ketaksuban dan dendam peribadi terhadap Najib tetapi bukan terhadap sistem yang bobrok dan rosak.
Ia seperti tidak masuk akal selepas bekerjasama dengan PH, NGO dan rakan-rakan kepercayaan saya, beliau masih terus menghina dan menyerang saya! Perangai seperti itu menghalang dari kemungkinan untuk pertemuan dengan ahli keluarga saya. Ada sahabat menyebut dengan takzimnya untuk tidak mengharapkan seorang yang telah berusia 92 tahun untuk akhirnya berubah. Ini hanya mengukuhkan keyakinan saya bahawa kumpulan elit penguasa hanya akan berusaha menyelamatkan Umno dan memastikan kebangkitan sistem usang.
‘The serpent that did sting…
Now wears the crown.’ [Shakespeare]
‘Berhati-hati jangan dipatuk dua kali…
Ular itu kini memakai mahkota’ [Shakespeare]
Rakyat kebanyakan kekal, sebagai suara yang penuh kesedaran, harapan rakyat untuk pendirian yang berprinsip. Kita tidak boleh dianggap sebagai menghalang atau melengahkan agenda reformasi; atau tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat.
Kita menuntut kebebasan, keadilan ekonomi, mengurangkan jurang kekayaan, melawan rasuah dan rampasan korporat. Percayalah dalam kebijaksanaan suara rakyat kebanyakan; dan berpandukan kepada aktivis, reformis dan memperkukuhkan akar umbi parti.
Izinkan saya mengulas kepada persoalan-persoalan lain. Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability.
Saya telah menegaskan pendirian yang bertentangan dan tiada bukti yang boleh dikemukakan sebaliknya. Saya juga telah diminta untuk menunjukkan pendekatan jelas dan tidak mengelirukan terhadap deklarasi; dan saya berbuat demikian dengan tepat.
Tetapi saya mengutuk sikap yang tidak peka mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah untuk membuat kunjungan hormat terhadap Tun M atau menyertai program beliau. Kamu mungkin nak mengambil hati beliau, tetapi menuntut pengorbanan daripada keluarga saya, terutamanya selepas cemuhan beliau baru-baru ini adalah sangat tidak berhati perut!
Dan tolong jangan melayan yang mengaku sebagai ‘sumber sahih, dipercayai’ yang mana Najib telah menghantar utusan untuk bertemu dengan saya dan telah berlaku satu pertemuan dengan Zahid di HKL minggu lepas.
Ini adalah fitnah dan disebarkan dengan niat untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan. Kepercayaan adalah seperti semakin terhakis. Saya dengan yakin boleh mengandaikan kalaulah pertemuan itu benar-benar berlaku, kredibiliti saya masih kekal tidak terjejas. Dan sebaliknya, saya akan berterus-terang dengan rakan-rakan jika benarlah bahawa berlaku tawaran atau dakwaan terhadap mereka. Ia adalah memalukan untuk menunjukkan sikap sebegini; tetapi kita perlu membina semula kepercayaan dan mempunyai sifat kasih sayang.
Akhirul kalam – saya kini diselubungi rasa sugul. Saya tidak berhasrat membebankan saudara-saudara dengan derita kesepian mendekam di penjara. Ujian sedemikian betapa pun sukar buat saya, Azizah dan keluarga tetapi tidak serumit dan kusut menangani perkembangan parti mutakhir ini. Sejak bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran k earah perubahan – islah mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin.
Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR.
Saya tidak berhalangan jika rapat umum dan sesi ceramah kita diteruskan dengan menekankan agenda Keadilan; menolak kerakusan kuasa dan pemerasan rakyat. Kelompok lain mungkin saja hadir menerangkan DR; tetapi jangan berganjak dari pendekatan kita. Pastinya tokoh lama tersebut yang tidak mendukung gagasan rakyat tidak wajar ditonjolkan kerana ia akan mengelirukan rakyat; mengaburkan agenda reformasi malah mengkhianati amanah islah.
Dalam wacana mengenai mauduk tersebut, itu saja batas yang saya mampu perakui. Jika majoriti memilih untuk mendukung persefahaman DR sepenuhnya; saya akur tetapi akan menyepi dan hanya mengulangi hasrat mendamba perubahan seutuhnya.
Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan.
Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan. Pandangan dan ulasan dari rakan-rakan sebegitu penuh dengan prasangka, dan sekilas mata dapat menyelamai kelompok yang diwakili. Persoalan nilai, akhlak, bahaya fitnah wajib dihindari. Maka keupayaan saya terbantut disini.
Saya pohon setulusnya agar warkah ini tidak diputar dan ditafsir mengikut selera kabilah. Warkah ini berupa wasiat dan amanah perjuangan untuk semua sahabat dalam saf kepimpinan. Telaah dan manfaatkanlah sebaiknya. Maaf dipohon seandainya dianggap terlanjur dan menyinggung.
Dalam kesepian dan murung, saya banyak menyemak puisi termasuk The Best Poems of the English Language: from Chancer through Proust karya Harold Bloom. Sebelumnya saya asyik dengan Pablo Neruda; Anna Akhmatova (Tsarina of Poetry); WS Rendra dan A Samad Said.
Rakan saya penyair Tawfiq Ismail pernah melakar di zaman remajanya – puisi yang saya hafal; dan pernah saya deklamasikan di Bandung sekitar 2005. Judulnya: “Memang Selalu Demikian, Hadi” (1966) di era gerakan mahasiswa menentang PKI dan Sukarno. Pohon izin menggantikan Hadi dengan “Saudaraku”: “Memang selalu demikian saudaraku”.
Setiap perjuangan selalu melahirkan
Sejumlah pengkhianat dan para penjilat
Jangan kau gusar, saudaraku.
Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita
Pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang
Jangan kau kecewa, saudaraku.
Setiap perjuangan yang akan menang
Selalu mendatangkan pahlawan jadi-jadian
Dan para jagoan kesiangan.
Memang demikianlah halnya, saudaraku.
Kepada Allah SWT dipohon keberkatan dan restu.
Semoga perjuangan diberkati. Amin