Bank Negara arah padam info sulit laporan 1MDB, kata Azalina


Azalina Othman Said

(MMO) – Maklumat risikan Bank Negara Malaysia mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh didedahkan, menyebabkan dua perenggan dalam laporan akhir Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibuang, kata menteri.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bank pusat memaklumkan kepada pengerusi PAC Datuk Hasan Ariffin bahawa maklumat yang disediakan untuk siasatan jawatankuasa itu berstatus “sulit”.

“Pengerusi PAC menerima maklumat daripada Bank Negara Malaysia yang menyatakan bahawa segala maklumat yang diberi adalah berstatus ‘sulit bagi tujuan risikan sahaja dan bukan untuk tujuan kegunaan mahkamah atau laporan awam’,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis.

Azalina menambah, semua anggota jawatankuasa parlimen itu turut dimaklumkan tentang sekatan ini oleh Hasan melalui suratnya kepada bank pusat bertarikh 6 April.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng, ahli parlimen Bagan, yang ingin tahu sama ada Hasan dibenarkan memadam ayat-ayat dalam laporan asal PAC berhubung Low, Good Star Limited dan PetroSaudi Group.

 



Comments
Loading...