Cakap Anwar sudah tak laku…
(Agenda Daily) – Kita selalu guna kata-kata ‘kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang’. Jadi apa agaknya yang buat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang goyang kaki dalam penjara kerana bersalah meliwat tiba-tiba ‘mengaum’.
Semua orang bertanya angin dari mana yang dorongnya mengarang surat lapan muka bertulis tangan mengingatkan budak-budaknya di luar yang sedang riang ria bergayut dengan Tun Dr Mahathir Mohamad agar berwaspada pada bekas Perdana Menteri itu.
Ikut adat resam dan lojik akal jika ada orang meminta orang lain waspada pada kita ini bererti ada bahaya dan tidak kena dengan kita.Ia sebenarnya adalah satu penghinaan kepada kredibiliti kita.
Dalam konteks surat Anwar dari tirai penjara tujuan peringatan waspada itu ialah pada Dr Mahathir.
Malah dalam surat itu Anwar tidak sembunyi menyenaraikan sebab musabab beliau merasa tidak sedap badan melihat mereka junjung Deklarasi Rakyat yang dipelopori Dr Mahathir di sana sini untuk jatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gambaran yang diberi oleh Anwar mereka mungkin terjebak dalam agenda peribadi bekas Perdana Menteri itu yang akhirnya tidak bawa apa untung pada perjuangan asal mereka selain menumbangkan BN.
Banyak andaian timbul dari surat itu.
Kalangan yang mendakwa kenal sangat stail Anwar merasa ada sebab besar beliau menulis dengan panjang lebar begitu.
Ikut cakap mereka jarang Anwar buat begitu kecuali terpaksa kerana merasa sudah terdesak sangat.
Kesepian dalam penjara tidak mungkin mendorongnya menulis panjang jika dapati segalanya di luar sana bisa diatur dan berjalan lancar ikut kehendaknya.
Anwar juga pasti boleh tidor nyenyak dalam penjara jika tahu budak-budaknya sedang main-main ‘ saling garu’ dengan orang yang beliau boleh jentik telinga dan datang berlari bila dipanggil bila-bila masa.
Sebaliknya Dr Mahathir tentu bukan orang yang ketar lutut dan berpeluh bila dengar nama Anwar.
Siapa tahu bekas Perdana Menteri itu mungkin tersenyum melihat melihat budak-budak Anwar kini berbaris di belakangnya kerana yakin beliau boleh membantu capai impian menjatuhkan Najib dan BN serentak.
Soalnya apa yang Anwar boleh buat dari dalam penjara?
Kebimbangan sudah tentu hilang kawalan keatas budak-budaknya diluar kerana sudah ada bos baru.
Lebih menghantuinya cakapnya sudah tidak laku.
Dulu Anwar batuk saja semua sudah faham.
Perkembangan dari penyebaran kandungan surat penuhnya sudah beri petanda bibit yang kurang enak itu.
Ada kalangan pemimpin pembangkang malah dari PKR yang seolah buat-buat tidak faham mesej yang cuba disampaikan oleh Anwar menerusi surat itu.
Sebenarnya istilah ‘waspada’ digunakan oleh kalangan pemimpin Pakatan untuk downplay surat Anwar.
Siapa saja yang baca kandongan penuh surat itu boleh nampak beliau tidak setuju dengan Deklarasi Rakyat.
Sekalipun nada marah jelas tersirat di sebalik kata-katanya termasuk hendak ‘sedia undur diri’ jika nasihatnya tidak dipeduli, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin tidak anggap surat Anwar suruh mereka berhenti kerjasama dengan Dr Mahathir.
Beliau berpegang bahawa PKR bebas berkerjasama dengan sesiapapun termasuk bekas Perdana Menteri itu.
Katanya surat itu cuma minta mereka hati-hati saja.
Orang kuat DAP, Tony Pua juga pandang sepi dan anggap surat Anwar cuma satu ‘reaksi biasa’ .
Katanya DAP akan teruskan kerjasama dengan Dr Mahathir.
Baginya ia lebih menguntungkan dari rugi kerana kerjasama itu membolehkan mereka dekat dengan penyokong BN.
Bekas Presiden Majlis Peguam,Datuk Ambiga secara terbuka kata nak terus dokong Deklarasi Rakyat Dr Mahathir.
Katanya deklarasi itu memberi sinar pengharapan untuk perubahan.
Beliau menilai surat Anwar satu hal dalaman parti yang tidak harus menyekat perjuangan menjayakan Deklarasi Rakyat.
Ketua Penerangan Parti Amanah Khalid Samad dan Datuk Husam Musa yang dipecat dari PAS juga tetap mendokong Deklarasi Rakyat.
Reaksi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sudah tentu mencuri perhatian dalam hal ini.
Menteri Besar Selangor itu yang ditemui wartawan mengelak bila ditanya apakah beliau meletakkan kepercayaan kepada Dr Mahathir.
Jawabnya cuma “Terima kasih.”
Kata orang lu fikirlah sendiri mengapa beliau tidak berani jawab “Ya atau tidak”.
Namun Azmin mempertahankan Deklarasi Rakyat.
Dakwanya Deklarasi Rakyat mendapat sambutan baik dari orangramai.
Kalau setakat cakap Anwar sudah tidak laku satu hal.
Tanda-tanda keretakan dalam pembangkang khususnya PKR gara-gara Deklarasi Rakyat juga sudah berlegar di angin lalu.
Malah Datuk Zaid Ibrahim yang main peranan besar dalam mengerakan Deklarasi Rakyat tidak tolak kemungkinan itu.
Katanya beliau tidak dapat cakap secara pasti apa yang menyebabkan Anwar tulis surat itu.
“Mungkin pergaduhan dalaman antara puak Azmin Ali dengan puak Wan Azizah,” katanya.
Kisah persaingan puak Azmin dengan puak Wan Azizah bukan cerita baru.
Namun semenjak adanya gerakan Deklarasi Rakyat keadaan menjadi lebih ketara bila mana Azmin dilihat rapat sekali dengan Dr Mahathir.
Sebaliknya Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak pernah menyertai himpunan Deklarasi Rakyat sejak awal sampai hari ini.
Azmin yang berkuasa sebagai Menteri Besar dan dengan backing Dr Mahathir sudah tentu boleh mengerhanakan pengaruh politik Wan Azizah yang diketahui umum ‘slow’ dan tidak menyerlah.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Azmin pernah jadi ‘anak angkat’ kesayangan Dr Mahathir sebelum beliau masuk kerja sebagai pegawai kepada Anwar.
Hubungan Azmin-Dr Mahathir retak bila Anwar kena pecat dan kemudian hadapi kes liwat pertama.
Deklarasi Rakyat telah menyatukan mereka diatas satu pentas.
Bekas Perdana Menteri itu juga tidak ambil pot pada surat berkenaan.
Bila ditanya wartawan,Dr Mahathir anggap ia cuma pandangan peribadi Anwar.
Dimana nak letak Wan Azizah dalam percaturan politik terbaru ini?
Bayangkan siapa yang tidak garu kepala melihat kemungkinan pengaruh sendiri dan dinasti keluarga dalam politik tergugat bila Dr Mahathir enter frame menerusi Deklarasi Rakyat