Kenapa tiga Exco PAS Selangor ‘berkejar’ jumpa Hadi lepas pertemuan dengan Azmin?


pas-pkr-benderaxx

(Agenda Daily) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehin Mukhyi dilaporkan mengesahkan pertemuan tiga Exco itu dengan Azmin dan juga mereka kemudian jumpa Haji Hadi.

Tandatanya kini berlegar apa sebenarnya yang diperbualkan oleh Datuk Seri Azmin Ali dengan tiga Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PAS selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu lalu.

Sekalipun Menteri Besar Selangor itu menafikan beliau beri kata dua kepada mereka letak jawatan jika PAS berkeras nak bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihanraya kecil 18 Jun namun pertemuan dengan tiga Exco itu memang diadakan.

Tiga Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor ialah Datuk Iskandar Samad,Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Lebih jadi tandatanya ialah kenapa mereka bertiga tergesa-gesa terbang ke Kuala Terengganu selepas pertemuan itu untuk adakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang di rumahnya di Rusila.

Lojiknya jika tidak ada hal yang mendesak dan amat penting mana mungkin mereka bergegas untuk jumpa Haji Hadi selepas pertemuan dengan Azmin.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehin Mukhyi dilaporkan mengesahkan pertemuan tiga Exco itu dengan Azmin dan juga mereka kemudian jumpa Haji Hadi.

“Saya dimaklumkan memang ada pertemuan antara (Datuk Seri) Azmin dengan exco (PAS) tapi saya tidak tahu butiran lanjut mengenai pertemuan, sebab ia melibatkan exco sahaja,”katanya seperti dilapor Antarapos.com.

Namun katanya beliau tidak tahu mengenai intipati pertemuan Azmin bersama tiga exco PAS berkenaan.

“Saya tidak boleh beri kenyataan sebab dia (Datuk Seri Azmin Ali) panggil exco Selangor sahaja. Saya tidak tahu tentang (pertemuan itu). Lebih baik hubungi exco (PAS) sahaja,” jelas Sallehin.

Sallehin yang juga bekas exco kerajaan Negeri Selangor itu turut mengesahkan pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kesemua exco PAS Selangor selepas itu.

“Saya tidak pasti sebab exco ada buat pertemuan mungkin dengan pimpinan PAS Pusat, saya tidak tahu butir pertemuan itu,”ujarnya.

Star Online pada sebelah pagi Khamis lapor Azmin telah beri kata dua kepada tiga Exco berkenaan kerana PKR hendak bertanding kerusi Sungai Besar.

Namun ditanya wartawan hal berkenaan selepas satu mesyuarat kemudiannya Azmin menafikan beliau ada bagi kata dua seumpama itu.

Sebelum ini Haji Hadi telah menegaskan pendirian muktamad PAS tetap nak bertanding pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan tidak akan berunding dengan mana-mana parti mengenainya.



Comments
Loading...