Tolak usul Hadi, dua menteri ancam letak jawatan kabinet
(MMO) – Dua menteri mengancam akan melepaskan jawatan jika Parlimen meluluskan rang undang-undang persendirian PAS untuk menguatkan kuasa mahkamah syariah, yang sering ditafsirkan usaha ke arah pelaksanaan hudud.
Datuk Seri Liow Tiong dan Datuk Seri Mah Siew Keong, masing-masing presiden MCA dan Gerakan, antara tokoh politik yang kuat menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Liow, menteri pengangkutan, dan Mah, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, bersama pemimpin MIC dan SUPP semalam menyatakan rasa kesal usul ini tidak dibincangkan dalam BN dan ia juga bercanggah dengan Perlembagaan.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ahli parlimen Marang, ketika membentangkan usul itu berkata ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan undang-undang Persekutuan.
Beliau berkata ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, mahkamah syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
Abdul Hadi bagaimanapun mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang bawah peraturan mesyuarat 15 (5).
Semalam perdana menteri menafikan rang undang-undang persendirian tersebut untuk pelaksanaan hudud.
Datuk Seri Najib Razak mendakwa ia hanya bertujuan memberi lebih kuasa kepada mahkamah tersebut tetapi ada salah faham di kalangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Beliau mengulas tindakan exco negeri Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong yang meninggalkan MCA atas dakwaan ia dan Umno gagal mempertahankan Perlembagaan apabila usul itu dibentang di Parlimen.
Leong bagaimanapun tidak meletakkan jawatannya sebagai exco alam sekitar, hal-ehwal masyarakat Cina, kesihatan dan perpaduan Kedah.