Azmin tersepit antara AMANAH atau PAS di Sungai Besar


Azmin-Ali_sungai-besar

PRK Parlimen Sungai Besar memperlihatkan parti pembangkang di peringkat pusat bertegang urat apabila masing-masing tekad untuk meletakkan calon.

Adam Abu Bakar, Free Malaysia Today

Nada keras dizahirkan oleh PAS apabila parti Islam itu menolak sebarang rundingan dan bertegas akan meletakkan calon. Manakala, AMANAH daripada Pakatan Harapan (PH) pula yakin akan berjaya menawan hati pengundi Sungai Besar.

Desakan demi desakan daripada PAS dan AMANAH menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terang-terangan tersepit untuk memberikan sokongan kepada yang mana satu.

Hal ini kerana sebagai orang nombor satu dalam negeri, Azmin harus menjaga kestabilan pentadbiran negeri yang masih melibatkan PAS dan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Malah, sewaktu majlis memperkenalkan calon PH di Sekinchan, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu beliau menasihatkan Azmin supaya tidak hadir pada majlis pengisytiharan calon itu.

“Azmin Ali kita tahu dia mesti menjaga kerajaan beliau. Azmin menteri besar. Itu kita memang faham, dia ada satu kedudukan untuk menjaga kerajaan pakatan yang dulu,” kata Wan Azizah.

Sebelum majlis memperkenalkan calon PH diadakan, situasinya berbeza apabila timbalan presiden PKR itu dilihat kerap dan mula mengadakan program bagi mendekati pengundi Sungai Besar.

Namun, setelah rundingan yang dijalankan antara PAS dan PH tidak berjaya sementara AMANAH terus mendesak agar diberikan peluang, Azmin membatalkan tempahan yang pada mulanya dirancang untuk digunakan jenteranya.

Perkara ini dilaporkan watan-online.com yang memetik sumber. Azmin menarik semula bantuan kewangan yang akan diagih-agihkan ketika berkempen seperti peruntukan membaiki surau dan masjid.

Sehingga kini, PAS masih menjalankan kempen secara bersendirian tanpa dibantu bekas rakan sekutunya DAP dan PKR.

Situasi berbeza untuk calon BN, walaupun mereka dikatakan hanya mempertaruhkan calon simpanan iaitu Budiman Mohd Zohdi.

Ini kerana, nama Muslimin Yahaya, 49, yang juga setiausaha sulit kanan kepada allahyarham Datuk Noriah Kasnon lebih kuat disebut-sebut sebagai calon pilihan.

Jika dilihat trek rekod Budiman sebagai ADUN Sungai Panjang, beliau merupakan antara calon yang bersih daripada sebarang salah laku dan merupakan individu yang membawa isu mengenai dakwaan kesalahan rasuah membabitkan Darul Ehsan Investment (DEIG).

Isu pemilihan Budiman dan bukannya Muslimin dikatakan berkait rapat dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos.

Muslimin dikatakan tidak mempunyai hubungan erat dengan Jamal dan dibimbangkan tidak dapat bekerjasama sekiranya BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Masalah dalam isu pemilihan Budiman dan bukannya Muslimin ini tidak dapat disembunyikan.

ADUN Sekinchan Ng Sue Lim daripada DAP sendiri dapat menghidu masalah dalaman antara Jamal dan Muslimin.

“BN ada masalah di Sungai Panjang dan Sekinchan, kerana calon yang mereka sepatutnya tampilkan iaitu Muslimin sudah dipinggirkan oleh Jamal.

“Mereka terpaksa gunakan Budiman yang menjadi ADUN di Sungai Panjang. Dia terpaksa ditonjolkan untuk menjadi penyelesai masalah dalaman antara mereka (Muslimin dan Jamal),” kata Sue Lim pada majlis pengisytiharan calon PH.



Comments
Loading...