Kenyataan Nizar biadap


hishammuddin-nizar

(Bernama) – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengajar BN di PRK Kuala Kangsar sebagai biadap.

Menurutnya, beliau tidak menyangka Nizar tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa memikirkan perasaan keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad semata-mata kerana politik.

“Saya tengok kalau ayat-ayat begitu diluahkan dalam keadaan sebegini, saya tengok memang biadablah.

“Sebab saya kenal Datuk Wan Khair-il secara rapat, saya kenal isterinya, saya kenal anak-anaknya,” kata Hishammuddin ketika diminta mengulas kenyataan Nizar selepas melawat bazar Ramadan Taman Berkat semalam.

Kelmarin, ketika berucap dalam ceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Nizar dipetik dalam media sosial sebagai berkata: “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

Nizar berkata, dirinya tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya PRK diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi menteri besar Perak dari Mac 2008 hingga Februari 2009,” katanya yang dilaporkan sebuah portal berita.

Beliau seterusnya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah “merampas” kerajaan Pakatan pimpinannya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, berdasarkan keperibadian Nizar memang sukar untuk membendung beliau daripada mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Justeru, Hishammuddin menyeru pihak lain tidak terikut-ikut dengan kenyataan Nizar itu yang sama sekali tidak memikirkan perasaan keluarga Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Mengulas PRK Sungai Besar, Hishammuddin berkata, peluang untuk memastikan kemenangan calon BN banyak bergantung kepada jentera parti yang turun ke bawah dan memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan.

“Setakat hari ini saya dah mula turun ke pusat-pusat daerah mengundi (PDM) untuk pastikan prosedur yang telah diputuskan di peringkat Badan Perhubungan Negeri dapat diterjemahkan sehingga ke peringkat PDM dan cawangan,” katanya.



Comments
Loading...