Rafizi, jangan lupa pembancuh kopi hantar bos ke penjara – Rizal
(FMT) – Tidak kira apa jua gelaran yang dilemparkan Setiausaha Agung PKR terhadapnya, Datuk Rizal Mansor berkata ia tidak akan menjadi kudis pada dirinya.
Sebaliknya, Pegawai Khas isteri Perdana Menteri itu terus mempertikaikan tindakan petugas pembangkang menyekatnya daripada mendengar sidang akhbar Rafizi Ramli semalam, berhubung penggunaan jet peribadi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.
“Soal Rafizi Ramli nak hina saya dengan apa jua gelaran, ia tak menjadi kudis kepada saya. Kalau sudah begitu anggapan beliau, apalah nak disekat budak angkat beg mendengar sidang media?” katanya di Facebook miliknya.
Rizal sempat menyelitkan pesan nasihat untuk Setiausaha Agung PKR.
“Jangan lupa budak bancuh kopi pun boleh hantar bos awak ke belakang jeriji besi,” pesannya.
Terdahulu, Rafizi menyatakan tidak takut untuk mempertahankan dakwaan penggunaan jet peribadi Rosmah dengan syarat mahu bersemuka dengan isteri perdana menteri itu.
“Saya tidak takut, tetapi buat apa berdepan dengan pegawai yang tugasnya angkat beg tangan Rosmah. Kalau nak debat tiada masalah, syaratnya dengan Rosmah sendiri,” katanya pada program ceramah di Jalan Daeng Selili semalam.
Mengulas keberanian berdebat itu, Rizal mendakwa Rafizi sebelum ini ‘lari’ daripada menerima cabaran debat daripada Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkaitan isu 1MDB.
“Bagi saya, Rafizi hanya layak jadi pemimpin anak ikan sebab dia bukan anak jantan,” katanya.