Pilihanraya mengejut: Guan Eng yang hadapi tuduhan rasuah bukannya kerajaan P.Pinang


guan-kitxx

(Agenda Daily) – “Sama ada beliau bersalah atau tidak, kes itu akan diputuskan oleh mahkamah. Guan Eng yang akan dibicarakan di mahkamah, bukannya kerajaan Pulau Pinang,”

Ura-ura DAP mahu mengadakan pilihanraya mengejut di Pulau Pinang sebagai satu protes terhadap pendakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng adalah satu pembaziran kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman

Jelasnya UMNO Pulau Pinang menyelar tindakan bagi mengukur maklum balas rakyat terhadap kedua-dua tuduhan rasuah ke atas  Guan Eng.

“Pilihan raya mengejut atau referendum mengenai Lim bukan cara untuk memutuskan sama ada Lim bersalah atau tidak bersalah atas pertuduhan rasuah

“Sama ada beliau bersalah atau tidak, kes itu akan diputuskan oleh mahkamah. Guan Eng yang akan dibicarakan di mahkamah, bukannya kerajaan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media Isnin.

Malah katanya, pilihan raya negeri biasanya diadakan apabila para pemimpin menghadapi krisis dalaman dan tidak yakin atau tidak pasti mengenai kepimpinan mereka.

“Adakah Guan Eng telah hilang keyakinan majoriti ADUN Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan merasakan keperluan untuk membubarkan dewan undangan negeri.

“Rakyat perlu diingatkan bahawa Guan Eng yang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas dakwaan rasuah dan bukannya kerajaan negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

Zainal turut mempersoalkan mengapa Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mengheret rakyat ke dalam kes beliau sedangkan peluang mencukupi disediakan oleh mahkamah untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

Beliau juga bertanya sama ada rancangan pilihan raya mengejut adalah muslihat politik DAP dan Pakatan Harapan untuk menyembunyikan kebenaran daripada rakyat.

“Apakah Guan Eng dan Pakatan Harapan takut kebenaran yang akan didedahkan di mahkamah semasa perbicaraan kerana boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap Guan Eng, DAP dan Harapan,” tanya Zainal.

Zainal menambah, DAP kini perlu mencari pengganti bagi jawatan ketua menteri dan mengarahkan Guan Eng supaya bercuti sehingga kes tersebut selesai.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata DAP sedang menimbang sama ada akan mengadakan pilihan raya mengejut sebagai tanda protes kepada pertuduhan rasuah yang difailkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, tindakan itu dibuat ekoran mahu menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

“Apa jua pilihan yang bakal diambil, kami meminta rakyat memutuskan sama ada tindakan ke atas Guan Eng adalah penganiayaan politik dan rakyat mahu Pakatan Harapan terus memerintah negeri ini,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu setakat ini, ujar Ramasamy yang juga timbalan setiausaha agung parti itu.

“Ia hanya perbincangan dalam peringkat mesyuarat parti baru-baru ini di Pulau Pinang, perkara itu belum dibawa untuk perbincangan di peringkat Pakatan Harapan lagi ataupun mesyuarat eksekutif pusat parti.

“Kami di tengah-tengah pembincangan mengenai bagaimana bertindak balas terhadap penganiayaan politik yang dilakukan terhadap ketua menteri dan setiausaha agung parti,” katanya.

Terdahulu pada 30 Jun lalu Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dua pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai pasaran bagi seunit kediaman di Jalan Pinhorn, George Town.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 (berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).

Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan berkenaan.

Guan Eng dibenar ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.



Comments
Loading...