KEADILAN SEDIA KERJASASAMA DENGAN PAS, DEMI PERPADUAN NASIONAL
KEADILAN menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pertelagahan sesama mereka kini dapat ditamatkan demi rakyat dan masa depan negara.
Dalam usaha murni ini, gabungan Pakatan bersama dengan semua yang menyokong usaha ini telah bersama-sama PAS menggembleng tenaga pada PRU ke-13 dalam menghadapi cabaran amat hebat untuk terus memberikan harapan kepada rakyat Malaysia. Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita telah memenangi jiwa dan minda majoriti pengundi Malaysia walaupun kita dihalang daripada membentuk sebuah kerajaan.
Perkara penting yang perlu difahami adalah sebuah pakatan pembangkang yang kuat telah berjaya menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mengekang sebahagian daripada keborosan mereka. Bagaimanapun, perjuangan untuk sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dan telus masih perlu diteruskan.
Kekuatan ini tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian semata, lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan perasaan curiga, dendam dan irihati. Ianya perlu dibina atas iltizam dan kenyakinan, dan inilah kekuatan yang telah mendorong rakan kongsi PAS untuk berjuang bersama-sama pada PRU 13 yang lalu.
Justeru, KEADILAN perlu menyatukan kekuatan ini untuk terus kekal bersama PAS dan terus menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan gabungan ini. Setiap parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama nanti. Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar.
Jaminan KEADILAN tidak akan sesekali menyimpang daripada nilai-nilai asas dan KEADILAN akan terus memastikan kepentingan rakyat tetap didahulukan.
KEADILAN yakin dan percaya bahawa peristiwa sebelum ini akan terus mematangkan dan memperkasakan kita. Rakyat telah menaruh kepercayaan kepada kita dan kita wajib memastikan kita wajar dipercayai dan kepercayaan rakyat jangan kita khianati.
Walau apapun yang bakal berlaku, Pakatan Harapan dan PAS bersandarkan tekad rakyat, akan terus bersama! Insya Allah!
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia