Langkah terbaru Dr Mahathir bukan satu kejutan…


drm-muh-shafiexx

Melihatnya dari sudut politik…Dr Mahathir memang sudah tidak ada pilihan lain.

(Agenda Daily) – Setelah gagal dalam usaha pertama untuk gugat Barisan Nasional menerusi peti undi di pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun kini apa saja ‘Langkah Dr Mahathir ‘ dikira bukan sesuatu yang mengejutkan.

Semua orang tentu ingat bagaimana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad all out menyifatkan dua pilihanraya kecil serentak itu sebagai referendum rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengajak pengundi di dua kawasan Parlimen itu ‘ajar’ dengan mengalahkan BN.

Sebaliknya bila BN mencapai kemenangan dengan majoriti lebih besar pada dua pilihanraya kecil itu beliau cuba menutup malu memperlekehkannya dengan segala macam dakwaan.

Soalnya apa sangat yang boleh buat orang terkejut kalau beliau sebelum ini sudah buat kejutan cukup besar sanggup duduk semeja dan berganding bahu dengan bekas para pemimpin pembangkang yang pernah mencercanya dengan segala macam ayat paling keji.

Sebelumnya Najib menjadi sasarannya namun kemudian beliau telah mengubah tiang gol hendak tembak BN pula sampai tersungkur.

Melihatnya dari sudut politik…Dr Mahathir memang sudah tidak ada pilihan lain.

Apa lagi kebelakangan ini Deklarasi Rakyat yang dipeloporinya semakin dingin.

Atas sebab itu kalangan pemimpin Barisan Nasional melihat berita yang keluar dari pertemuan beliau dengan sebilangan pemimpin pembangkang di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang Khamis sesuatu yang sudah dijangkakan.

Pada sidang akhbar selepas pertemuan kira-kira tiga jam Dr Mahathir mengesahkan sebuah parti baharu akan ditubuhkan dan ia akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Apa yang agak mencuri perhatian sikit ialah Dr Mahathir membayangkan beliau cuma akan menjadi antara pengasas parti itu tetapi tidak akan mengetuainya.

Siapa tahu…ini mungkin ada kaitan beliau dilihat lebih satu liabiliti dari kaca mata penyokong pembangkang kerana kisah-kisah lama yang semua sedia maklum.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan keluarganya hingga ke hari ini tidak mahu duduk sepentas dengan Dr Mahathir.

Mereka juga tidak pernah hadir dalam sebarang acara Deklarasi Rakyat.

PAS pula sudah bercerai kasih dengan Pakatan Harapan dan kemungkinan ia menyertai gabungan baru pembangkang adalah tipis.

Siapa agaknya yang akan mengetuai parti baru itu yang rupa bentuk dan namanya belum ditentukan? Apakah Tan Sri Muhyiddin,Datuk Seri Mukhriz Mahathir atau Datuk Seri Shafie Apdal.

Melihat pada senioriti tentu ramai yang akan meneropong pada Muhyiddin.

Kisah kemungkinan sebuah parti baru ditubuhkan dan kemungkinan ia bergabung dengan pembangkang juga bukanlah satu berita baru.

Ura-ura untuk mewujudkan platform politik ini sudah menjadi bahan bualan puak anti-Najib kebelakangan ini.

Tandatanya sekarang apakah parti yang akan dipelopori dari belakang oleh Dr Mahathir ini akan memberi impak besar pada lanskap politik tanahair?

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Keruak melihat langkah terbaru Dr Mahathir ini sebagai lontaran dadu terakhir berikutan banyak usaha menjatuhkan kerajaan dilakukannya tidak berjaya.

“Banyak pihak baru dan pakatan baru telah terbentuk di sejak 65 tahun lalu iaitu bermula tahun 1951. Ada yang subur hingga ke hari ini dan ramai lagi telah hilang di sepanjang jalan.

“Sebuah parti atau gabungan yang ibarat sebuah kenderaan yang akan berakhir. Apa yang lebih penting ialah apa yang mereka harap untuk dicapai hanya tinggal harapan bagaimana mereka berharap untuk mencapainya,” kata Salleh dalam satu kenyataan ekoran perkembangan terbaru ini.

“Kita akan lihat apa yang parti baru yang akan dibentuk atau gabungan baru ini boleh tawarkan kepada Malaysia.

Kadang-kadang pengundi lebih suka untuk mencuba dan uji daripada apa yang mereka tidak diketahui dan belum diterokai,” katanya.

Pengarah Stratejik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata atas beberapa sebab ramai orang tidak terkejut dengan pengumuman sebuah gabungan politik baru oleh Dr Mahathir.

“Mungkin kerana beliau telah menyerang BN selama beberapa tahun sekarang.Atau mungkin kerana wajah-wajah yang kita lihat di sidang akhbar Tun di Putrajaya kebanyakannya adalah mereka yang diketahui umum penentang kepimpinan sekarang,”katanya.

Sekalipun menyifatkan penubuhan parti baru sebagai proses demokrasi yang sihat, Abdul Rahman menilai langkah Dr Mahathir ini hanya akan melemahkan parti pembangkang dan mengukuhkan peluang BN untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

“Kami akan terus berjuang untuk prinsip dan perjuangan kita. Kami akan mempertahankan rekod kami.

“Kami sudah melalui tempoh sukar dan cabaran yang besar sebelum ini dan Alhamdulillah, kami mampu mengatasi setiap satu daripadanya,” kata Abdul Rahman.

Beliau berkata BN akan mendekati orang ramai dan memberitahu mereka untuk tidak meletakkan kepercayaan kepada pakatan yang goyah dan diterajui seorang lelaki yang hanya mempunyai objektif untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang, dengan apa cara sekalipun.

Menurut Abdul Rahman gabungan itu tidak mempunyai agenda bersama untuk Malaysia.

“Apa yang mereka ada hanyalah ‘hubungan bahaya’ berdasarkan kekecewaan dan kegagalan yang amat sangat dalam memenangi hati rakyat. BN bercadang mematikan setiap langkah mereka.

“BN akan berdepan sesiapa sahaja, bila-bila masa dan di mana sahaja demi masa depan negara tercinta,” katanya.

 



Comments
Loading...