Tuan Ibrahim dinasihat tinggalkan PAS


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2011_05_Tuan-Ibrahim-Tuan-Man-300x210

(Agenda Daily) – PAS disifatkan sebagai tidak muafakat dalam menjayakan cadangan ‘gencatan senjata’ yang diutarakan oleh Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Abdul Samad, cadangan itu gagal menerima sokongan daripada pemimpin PAS lain selain Naib Presiden Datuk Iskandar Samad.

Katanya lagi, ini membuktikan parti itu kini mempunyai perjuangan baru iaitu tidak menganggap Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai seteru politik utama yang perlu ditentang.

“Suara menyeru kepada kesatuan pembangkang tidak lagi disambut baik oleh PAS. Dahulu PAS pencetus kesatuan dan persefahaman antara pembangkang demi menghadapi BN. Itu dulu. Dulu lain sekarang lain.

“Mereka cuba suarakan pandangan bahawa BN musuh utama yang merosakkan ummat Islam, bangsa Melayu dan merosakkan Negara. Oleh itu kita perlu ‘gencatan senjata’ dan berkerjasama demi menjatuhkan BN kata mereka.

“Namun suara-suara mereka kedengaran semakin sumbang setiap hari apabila ianya diutarakan atas wadah PAS. Saya yakin mereka sendiri semakin sedar akan keadaan ini.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk pimpinan PAS yang melihat BN sebagai musuh politik utama umat Islam dan rakyat jelata untuk mengakui bahawa keadaan PAS tidak lagi seperti dahulu,” katanya menerusi kenyataan media.

Justeru itu Tuan Ibrahim dan pimpinan yang senada dengan pendirian dalam keperluan melaksanakan ‘gencatan senjata’ dinasihatkan meninggalkan PAS yang tidak mempunyai sebahagian pendirian bahawa Umno-BN sebagai rakan, bukanlah musuh utama.

Pemimpin parti itu kata Khalid lagi boleh memilih sama ada mahu bersama-sama dengan PKR, dan DAP sekalipun PAN.

“Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan-rakan yang melihat kepada perlunya BN dikalahkan mempunyai sikap yang berbeza dari pimpinan PAS sekarang.

“Sekiranya PAS tidak lagi sudi atau mampu membawa mesej Islam sebagai ‘rahmatal-lil-’aalamin’ maka sudah tiba masanya untuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan-rakan, termasuk YB (Yang Berhormat) Iskandar Samad, meninggalkan PAS.

“Pilihlah dari parti-parti yang ada di dalam Pakatan Harapan sebagai wadah baharu tuan-tuan untuk meneruskan perjuangan tuan-tuan selama ini. Yang penting adalah risalah dan perjuangan, bukan jemaah,” kata Khalid lagi.

Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata PAS sedia berpakat dengan mana-mana pihak yang setia dan dapat mengikut acuan parti itu demi menegakkan Islam.



Comments
Loading...