Benarkah Muhyiddin pilihan Mahathir?
Daripada empat individu yang pernah jadi timbalan Dr. Mahathir, hanya Pak Lah yang lepas naik ke kerusi Perdana Menteri. Itu pun, selepas beberapa tahun memegang jawatan, Pak Lah turut hadapi tekanan daripada Dr. Mahathir kerana dianggap tidak berkeupayaan untuk terus memikul tanggungjawab memimpin negara.
Muhamad Mat Yakim, Sinar Harian
KETIKA tulisan ini disiarkan, tidak pasti sama ada Tun Dr. Mahathir masih di IJN ataupun sudah pulang. Apa yang hampir pasti ialah dia akan dapat kenderaan baharu untuk menggerakkan kempen menumbang Najib – Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau nama pendeknya, Bersatu.
Saya yakin, meskipun dilantik pengerusi parti itu, Dr. Mahathir tidak akan bertanding pada PRU14, jauh sekali untuk kembali ke Sri Perdana. Apa yang jadi matlamatnya adalah menggantikan PM Najib dengan pemimpin lain. Najib pada pandangannya sudah melakukan banyak kerosakan dan tidak boleh dibiarkan.
Ketika memilih Pak Lah untuk menggantikannya, Dr. Mahathir sebenarnya lebih berminat kepada Najib. Pada masa itu, hubungan Najib – Pak Lah tidak begitu jernih dan dikatakan, Dr. Mahathir terpaksa mendapatkan jaminan Pak Lah untuk memastikan Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila dia (Pak Lah) dinamakan sebagai Perdana Menteri. Tujuannya adalah supaya selepas Pak Lah, Najib yang akan naik.
Mahathir bukan jenis lupa jasa orang kepadanya. Ada cerita, Tun Razak berpesan kepada birasnya, Tun Hussein Onn supaya melantik Dr. Mahathir jadi timbalannya setelah dia (Hussein) dilantik Perdana Menteri. Jika cerita ini benar, ia adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir.
Hussein memang tidak menggemari Mahathir sejak awal. Dia yang jadi Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Razak di London akibat kanser pada 1976, lebih mahukan Tun Ghazali Shafie yang dianggap antara orang Melayu paling pintar dan berpengetahuan (hingga dilantik menganggotai Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan) untuk jadi timbalannya.
Bagaimanapun Ghazali bukan Naib Presiden Umno. Mengikut tradisi dan berdasarkan senioriti, Hussein seharusnya melantik seorang daripada tiga naib presiden iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba atau Dr. Mahathir sebagai timbalannya.
Kata dua
Tengku Razaleigh adalah Naib Presiden Umno yang paling popular ketika itu. Dia mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti, diikuti Ghafar dan Dr. Mahathir.
Bagaimanapun menurut Sanusi Junid, Hussein tidak berkenan untuk melantik Ku Li barang kali disebabkan status bujangnya ketika itu manakala Ghafar pula kerana Ghafar menyokong Tunku Abdul Rahman ketika krisisnya dengan bapa Hussein, Onn Jaafar pada 1951.
Berikutan ura-ura Hussein mahu melantik Ghazali sebagai timbalannya, ketiga-tiga naib presiden itu menemuinya dan memberi kata dua: “Lantik salah seorang daripada kami ataupun kami bertiga akan boikot Kabinet!”
Lantaran itu, Hussein akhirnya memilih Dr. Mahathir meskipun Dr. Mahathir ketika itu adalah naib presiden yang ketiga dari segi kedudukan dalam parti yang berasaskan pungutan undi. Yang membantu Hussein membuat keputusan itu ialah Abdul Kadir Yusuf, Menteri Pembangunan Tanah dan Pembangunan Wilayah. Abdul Kadir sahabat karib Hussein sejak sama-sama menuntut di London.
Perihal keruhnya hubungan Hussein – Dr. Mahathir berlarutan hinggalah Dr. Mahathir dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Tokoh wartawan, A.R. Kamaludin yang juga anggota Exco Pemuda Umno ketika era Suhaimi Kamaruddin pernah menceritakan hal keluhan Dr. Mahathir mengenai hubungannya dengan Hussein.
Menurut Kamaludin, ketika dia bersama beberapa anggota Exco Pemuda Umno menunggu giliran untuk menghadap Perdana Menteri di pejabatnya, mereka terserempak dengan Dr. Mahathir yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri. Dia menyapa mereka.
Apabila diberitahu tujuan mereka adalah mahu menghadap Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata: “Lagi untung jadi Exco Pemuda daripada Timbalan Perdana Menteri. Saya dah dua minggu buat appointment nak jumpa PM, tak dapat-dapat lagi.”
Pada penghujung pentadbirannya, Hussein dikatakan memanggil Tengku Razaleigh. Hussein beritahu Ku Li dia mahu letak jawatan dan Ku Li dipilih untuk menggantikannya.
Memanglah tiada peruntukan dalam Perlembagaan hanya Timbalan Perdana Menteri yang boleh menggantikan jika Perdana Menteri meletak jawatan namun secara tradisi, seharusnyalah begitu. Dr. Mahathir adalah Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden Umno, juga Timbalan Pengerusi BN.
Ku Li bagaimanapun dikatakan menolak tawaran itu, Dia yakin masa untuknya (jadi Perdana Menteri) akan tiba jua memandangkan usianya yang jauh muda berbanding Dr. Mahathir.
Apabila Ku Li menolak, Hussein memanggil pertemuan enam mata – Hussein, Dr. Mahathir dan Ku Li – untuk membincangkan perkara itu. Dia mahukan jaminan daripada Dr. Mahathir untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya apabila dia dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri.
Benar atau tidak kenyataan ini tidak dapat dipastikan namun apa yang berlaku kemudiannya bukanlah begitu. Apabila Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dipilih sebagai gandingannya.
Retak
Kemudian daripada itu, berlaku keretakan dalam hubungan Ku Li dengan Musa, dan kemudian Ku Li dengan Mahathir dan Musa. Bagaimanapun selepas Musa meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1986, dia bergabung dengan Ku Li pula untuk menentang gandingan Mahathir – Ghafar yang menggantikan tempatnya.
Kemuncaknya, pada pemilihan 1987, kedua-dua regu itu bertembung yang menyaksikan kekalahan tipis Ku Li di tangan Dr. Mahathir dalam perebutan kerusi Presiden Umno manakala Musa tumpas kepada Ghafar bagi kerusi Timbalan Presiden.
Bagaimanapun dalam pemilihan pada 1993, Ghafar membuat keputusan menarik diri daripada mempertahankan jawatan apabila pencalonan untuk Anwar Ibrahim jauh mengatasi pencalonan untuk dirinya.
Sejak itu, Ghafar dikatakan menyimpan rasa terkilan terhadap Dr. Mahathir yang dikatakan terang-terangan menyokong Anwar. Hal rasa terkilannya itu disampaikan kepada beberapa rakannya.
Daripada empat individu yang pernah jadi timbalan Dr. Mahathir, hanya Pak Lah yang lepas naik ke kerusi Perdana Menteri. Itu pun, selepas beberapa tahun memegang jawatan, Pak Lah turut hadapi tekanan daripada Dr. Mahathir kerana dianggap tidak berkeupayaan untuk terus memikul tanggungjawab memimpin negara.
Sebagaimana sekarang, yang seiring dan sejalan dengan Dr. Mahathir adalah Muhyiddin Yassin. Najib – yang diangkat menggantikan Pak Lah – meskipun awalnya dilihat sebagai pilihan Dr. Mahathir, kini didesak oleh dia sendiri untuk melepaskan jawatan!
Rekod politiknya mencatatkan; Mahathir berperanan dalam mendesak Tunku Abdul Rahman meletak jawatan. Ketika Hussein Onn, pun dia dikatakan ada peranan juga meskipun tidak begitu terbuka. Perdana Menteri yang tidak disentuh langsung oleh Dr. Mahathir hanyalah Tun Razak.
Apa yang berlaku selepas Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya selama 22 tahun, dia digantikan oleh pemimpin yang bermasalah. Kaliber dan karismatik Pak Lah, juga Najib jauh rendah berbanding kesemua Perdana Menteri yang terdahulu, termasuk dirinya sendiri.
Di mana silapnya, dan apa punca yang menyebabkan hal ini berlaku? Ada pihak menyifatkan puncanya adalah Dr. Mahathir sendiri. Dia dianggap tidak berusaha melahirkan pelapis yang berkelayakan untuk mengambil alih kemudi negara selepasnya.
Kalaupun ada, mungkin Anwar tetapi Anwar sendiri telah melakukan kesilapan besar tatkala laluan sudah dibentang luas untuknya. Itulah satu-satunya anak didik yang dibenihkan oleh Dr. Mahathir meskipun kesudahannya tidak berakhir seperti apa yang diharapkan!
Tun Razak telah mendidik Ku Li dan Musa untuk menyambung legasinya selepas giliran Dr. Mahathir, namun tempoh pemerintahan Dr. Mahathir yang begitu lama telah ‘mengorbankan’ mereka.
Saya teringat kata-kata seorang bekas menteri dalam Kabinet Dr. Mahathir ketika kami bertemu di rumahnya beberapa tahun lalu: “Lama memerintah itu bagus, tetapi terlalu lama, tidak bagus!”
Dia merujuk pada tempoh pemerintahan Dr. Mahathir yang menurutnya telah membawa nasib yang kurang baik kepada negara apabila tokoh seperti Ku Li terpaksa dikorbankan.
“Ku Li antara ahli politik terbaik pernah dilahirkan di negara kita. Saya tidak kata pemerintahan Dr. Mahathir tidak bagus. Dia meninggalkan legasi yang begitu besar namun tempoh pemerintahannya yang terlalu lama telah menyebabkan ada lompang dari segi pelapis dalam kepimpinan negara untuk menyambung apa yang telah dibawanya,” katanya.
Jika umurnya panjang, dan jika pembangkang menang PRU14, apakah Muhyiddin akan jadi satu-satunya Perdana Menteri selepasnya yang dapat diterima oleh Dr. Mahathir?