Karenah “Bapa Demo” Tidak Tulen
Khairul Naim Rafidi
Terkejut juga hari ini membaca pengakuan seorang hulubalang kanan bahawa beliau merupakan “bapa demo”.
Mungkin sahaja “kaki demo” seperti Isham Rais, Adam Adli, Syukri Razab, Safwan Anang malah Anwar Ibrahim dan lain-lain akan terkejut dengan kenyataan seperti ini.
Beliau dengan yakin menegaskan pengalamannya suatu ketika dahulu sebagai “bapa demo” yang memimpin protes-protes jalanan membuatkan beliau sedar bahawa demonstrasi merupakan perkara sia-sia dan tidak berguna. Beliau juga dengan yakin percaya demonstrasi tidak mampu menyelesaikan masalah dalam negara ini.
Dengan hormat, saya berpendapat bahawa hulubalang ini sudah tersilap. Dalam beberapa keadaan, mungkin benar demonstrasi adalah suatu tindakan yang tidak menyelesaikan masalah.
Kata-kata saya ini usah diambil secara harfiah, “tidak menyelesaikan masalah” yang saya maksudkan adalah sesuatu masalah itu tidak dapat diubati dan diselesaikan dengan serta-merta hanya dengan demonstrasi.
Namun begitu, sebagai hulubalang kanan, tanggapan bahawa demonstrasi adalah perkara yang sia-sia saya anggap sebagai suatu pandangan yang radikal. Adakah hulubalang ini lupa bahawa parti kesayangannya juga lahir daripada aksi demonstrasi ketika menentang Malayan Union dahulu?
Pandangan seperti ini juga sama seperti menganggap undang-undang yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan itu adalah dokumen kosong, sia-sia dan tidak bernyawa.
Sebagai hulubalang kanan, beliau seharusnya tidak memperkecil dan merendah-rendahkan hak rakyat seperti di dalam perlembagaan. Malah, ia seharusnya disebut dan digalakkan memandangkan ia adalah aksi yang sah disisi undang-undang.
Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini harus diangkat dan bukan “dihina” senyap-senyap seperti ini. Ia harus terus didedah dan dijelaskan kepada khalayak ramai.
Saluran yang betul
Sejak menuntut ketika berada di program pra undang-undang (pre-law) di Kuantan dahulu, saya juga sering didendangkan dengan perkataan “gunakanlah saluran yang betul”.
Sehingga kini saya masih belum mendapat penjelasan tentang maksud sebenar “saluran yang betul”.
Saya sering diingatkan tentang hal tersebut kerana pada waktu itu, sebagai pemimpin mahasiswa di kampus Kuantan, ucapan-ucapan dan tulisan saya telah disalahtafsir oleh sesetengah individu dan dianggap sebagai sesuatu yang radikal.
Tambahan pula, memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang dianggap sebagai “front radikal” ketika itu telah menjadikan nasihat “gunakanlah saluran yang betul” sebagai sesuatu yang utama.
Di usia yang sangat muda, saya terus tercari-cari maksud “saluran yang betul itu”. Adakah melalui parti kerajaan? Atau jalan yang mana satu ini? Pernah juga saya bertanya, tetapi sehingga kini saya masih lagi tidak bertemu dengan jawapan. Saya kecewa.
Hulubalang-hulubalang negara seharusnya baca dan hayati undang-undang
Hulubalang-hulubalang negara ini seharusnya lebih faham undang-undang dalam negara supaya tidak “menyesatkan” minda rakyat.
Hal ini penting supaya rakyat tidak terus ditipu, atau dalam bahasa yang lebih molek, mungkin sahaja tersilap mendapat maklumat.
Misalnya, kita ambil isu yang popular dan mudah seperti isu demonstrasi.
Pernah sahaja digembar-gemburkan bahawa demonstrasi merupakan sesuatu yang tidak bertamadun dan menghancurkan negara. Hal ini sepatutnya diterangkan oleh pihak berwajib secara matang, rasional dan munasabah.
Ia bergantung kepada keadaan. Dalam konsep undang-undang sendiri, sama ada sesuatu tindakan itu salah atau tidak, kemunasabahannya (reasonablesness) harus dipertimbangkan terlebih dahulu. Di sini, pengetahuan undang-undang yang jitu amatlah diperlukan dan tidak boleh hentam sahaja.
Contoh lain, lihat sahaja isu notis sebelum mengadakan perhimpunan menurut Akta Perhimpunan Aman. Temenggung-Temenggung negara terus sahaja mendesak rakyat yang ingin berdemonstrasi supaya memberikan notis dan tindakan akan dikenakan sekiranya ia gagal dipatuhi.
Bukankah dalam kes Nik Nazmi Bin Nik Ahmad v Public Prosecutor [2014] 4 MLJ 157 sudah menyebut tentang prinsip bahawa kegagalan memberikan notis dalam tempoh tertentu adalah tidak menyalahi undang-undang?
Selain itu, sekatan yang dikenakan juga harus munasabah dan perhimpunan yang aman itu merupakan hak paling asas di dalam perlembagaan.
Mengapa prinsip undang-undang yang diputuskan oleh mahkamah ini tidak diambil kira oleh pihak berkuasa? Bukankah tindakan mengulangi hal yang sudah selesai seperti ini hanya akan “menyesatkan” rakyat dan membuatkan orang yang tahu mentertawakan pihak berkuasa yang sepatutnya dihormati?
Kesimpulan
Gelagat dan karenah “bapa demo” sebenarnya mencuit hati. Tapi, pada akhirnya yang kita mahukan adalah sebuah negara yang baik, makmur dan bertamadun.
Justeru, saya percaya bahawa anjakan paradigma harus dibuat oleh semua pihak supaya proses periksa dan imbang (check and balance) dapat dilaksanakan.
Sesungguhnya pemimpin yang baik itu hanya akan lahir dalam kalangan rakyat baik yang sentiasa berani menegur, mengkritik dan memberikan nasihat tentang perkara yang salah dan tidak benar.
KHAIRUL NAIM RAFIDI
MAHASISWA UNDANG-UNDANG UITM DAN PENGASAS SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)
Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi. SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling.