Muhyiddin kena hormat agenda Reformasi, kata Nurul Izzah


Nurul_Izzah_anwar_1309d

(Sinar Harian) – Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang sekiranya parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) komited dengan reformasi, menghormati sistem demokrasi dan perlembagaan persekutuan Malaysia.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar)  berkata, Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, selagi mereka menghormati syarat utama (reformasi) untuk mewujudkan timbang tara yang jelas di Malaysia.

“Sekiranya mereka tidak komited dengan reformasi, maka kita akan menukar pimpinan secara nama dari seorang individu kepada individu yang lain. Ini isu kerjasama, ia bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi, itu normal.

“Kita kena ingat semasa DAP memenangi kerusi yang banyak majoriti pun, mereka yang mencadangkan supaya jawatan (ketua pembangkang) dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada saya, ia terlalu awal untuk diberitahu, parti Bersatu baru sahaja didaftarkan, yang penting wujudkan momentum dan buat kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, Anwar juga sentiasa mengingatkan supaya turun ke bawah dan berada di lapangan untuk wujudkan momentum.

“Ingin saya kongsikan, selepas dipecat daripada Kabinet, Anwar dalam masa 18 hari telah selesai jelajah satu Malaysia. Jadi pada saya, kita harus gerakkan rakyat supaya mereka dapat lihat, dapat rasakan momentum dengan keadaan di mana media dikawal,” katanya.

Baru-baru ini, DAP melalui Setiausaha Publisitinya, Tony Pua menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti, termasuk parti baharu, Bersatu.

Menurut Tony, jalinan kerjasama DAP dengan Bersatu bersandarkan kepada keyakinan bahawa perjuangan parti baharu itu adalah untuk memperjuangkan agenda menegakkan keadilan di Malaysia, sifat yang sama diperjuangkan DAP.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut berkongsi beberapa pesanan Anwar kepadanya iaitu memastikan setiap gerak kerja harus bersama rakyat dan mesti menjadi keutamaan.

Menurutnya, Anwar juga tidak mahu ahli keluarga terlalu bimbang dengan keadaannya di penjara kerana ramai lagi ahli parlimen pembangkang yang berdepan dengan pelbagai tuduhan.

Justeru itu katanya, Anwar ingin memastikan pentadbiran di Malaysia tidak mengguna sebarang undang-undang yang menekan hak untuk berpolitik.

“Katanya, jika kita memusuhi sesiapa biarlah secara berdebat, berbahas, berdiskusi secara ilmiah untuk menghasilkan dasar yang terbaik buat negara.

“Selain itu beliau (Anwar) sentiasa mengingatkan agar kita tidak hanya menumpukan kepada satu isu saja. Dahulukan isu rasuah, kronisme. Itu yang menyebabkan skandal 1MDB berlaku,” katanya.



Comments
Loading...