Dedah kepada media, PKR bakal buang Badrul Hisham


johari-bard

(Agenda Daily) – Ketua WHIP PKR, Datuk Johari Abdul menjelaskan tindakan yang diambil terhadap Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard adalah kerana kesalahannya yang menggunakan media sebagai sebaran berita mengenai beberapa dakwaan terhadap pemimpin PKR.

Katanya, tindakan itu melanggar perlembagaan parti kerana beliau seharusnya melaporkan perkara tersebut kepada Suruhankaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terus atau mendapatkan maklumat daripada ibu pejabat parti.

“Mana-mana ahli yang pergi ke media tanpa merujuk dahuli isu ini dengan ibu pejabat parti akan diambil tindakan, sepatutnya dia perlu hantar dulu laporan tersebut dan kita akan beri jawapan pada perkara yang dia nak, bukan terus pergi ke media. 

“Ataupun dia terus melaporkan kepada SPRM dan saya jangka SPRM akan buat siasatan, dan saya rasa tindakan itu amat saya alu-alukan dan siapa sahaja yang mempunyai maklumat sahih tentang sesuatu perkara juga boleh terus membuat laporan kepada SPRM. itu tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Semalam, Johari mengesahkan satu perbincangan akan diadakan bagi memutuskan keahlian Chegubard sama ada perlu digantung ataupun tidak. 

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Disiplin akan diadakan beberapa hari lagi dan Biro Politik yang akan memutuskan akan perkara tersebut.

Chegubard sebelum ini bertindak agresif mendedahkan dakwaan mengenai salahlaku dalam kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia berhubung kontroversi penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah, Wetlands Selangor.

Chegubard mendakwa kerajaan negeri pimpinan Azmin memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat.

Ujarnya, keadaan itu bakal mengganggu ekosistem keseluruhan Paya Indah Wetlands yang dikelaskan sebagai kawasan tanah lembab di bawah Konvensyen Ramsar.

Malah pihaknya juga bertindak menghantar surat kepada kepimpinan tertinggi PKR bagi melakukan siasatan salah laku mengaitkan Azmin dan exco kerajaan negerinya, Elizabeth Wong.

Elizabeth pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini bagaimanapun menafikan dakwaan Chegubard, sambil menjelaskan lot 68054 yang dibangkitkan Chegubard itu bukan milik Paya Indah Wetlands, sebaliknya dimiliki oleh syarikat swasta, Salak Land Development Sdn Bhd.



Comments
Loading...