Mahathir sudah tersasar jauh


Annuar Musa

(Bicara News) – Anggota Umno khususnya di negeri Kedah perlu meletakkan kepentingan parti lebih daripada sanjungan terhadap seseorang pemimpin, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Katanya beliau memahami terdapat dilema dalam kalangan anggota Umno terutama di negeri jelapang padi ini terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau sendiri pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, katanya anggota parti perlu sedar bahawa perjuangan Dr Mahathir telah tersasar jauh daripada apa yang dikatakannya sendiri ketika menjadi presiden Umno.

“Bait-bait perkataan Dr Mahathir masih segar dalam ingatan saya, kalau orang Kedah rasa sedih dan terkeliru, saya juga sedih… kenapa dulu beritahu lain, sekarang buat lain… keluar Umno, tinggalkan parti, itu bercanggah dengan ajaran beliau (Dr Mahathir) sendiri.

“Hari ini saya antara orang yang terkeliru, orang Kedah pun mesti ada perasaan sayang, tetapi dalam sejarah perjuangan Umno, kita tidak pernah mengikut jejak langkah individu,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Baling hari ini. Turut hadir ketua Umno bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Annuar berkata anggota Umno harus melihat lebih jauh terutama nasib anak-anak mereka sekiranya Umno tidak lagi berkuasa di negara ini.

Katanya Umno yang selama ini banyak berjasa dalam pembangunan negara dan menjaga kebajikan rakyat bukan sekadar sebuah parti politik, namun merupakan suatu warisan yang harus diwarisi pada masa depan.

Dalam pada itu, Annuar meminta anggota Umno di setiap peringkat mempertahankan Umno dengan memberikan perspektif yang betul supaya rakyat mendapat gambaran jelas mengenai parti itu.

“Umno seringkali ditohmah dengan pelbagai tuduhan termasuk parti rasis dan tidak mengangkat agama Islam sehinggakan terdapat rakyat yang terpengaruh dan menjauhi Umno.

“Ia berikutan anggota Umno sendiri tidak menjadi ‘lidah’ kepada Umno yang sebenarnya berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara… parti ini mengambil kira muafakat dan kerjasama antara kaum. Tetapi berapa ramai anggota Umno yang bercerita mengenai perkara ini,” katanya.



Comments
Loading...