Ibrahim Ali: Umno tak mampu bertahan PRU depan


ibrahim_ali

Katanya, Umno hari ini bertahan dengan waktu pinjaman kerana rakyat menghargai peranannya dalam mencapai kemerdekaan, dan membangunkan Malaysia.

(FMT) – Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata Umno pada masa ini berdepan banyak ketidaktentuan dan mungkin tidak akan bertahan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ia masih tidak berubah terutama ketika ia semakin dihimpit sindrom usia tua.

Beliau berkata meskipun Umno mendakwa ia parti dengan manifestasi yang jelas, hakikat perlu ditelan yang Umno kini sengsara dengan sindrom usia tua sementara parti sezaman dengannya seperti Golkar di Indonesia, Parti Kongres di India, Parti Demokratik Liberal di Jepun, semuanya sudah hilang.

Katanya, Umno hari ini bertahan dengan waktu pinjaman kerana kaum Melayu dan sebahagian bukan Melayu menghargai peranannya dalam mencapai kemerdekaan, dan membangunkan Malaysia.

“Majoriti Melayu menyokong Umno kerana mereka masih tidak pasti takdir dan masa depan, jika Malaysia diperintah kumpulan parti politik baharu.

“Apa yang paling menakutkan Melayu dalam konteks ini ialah DAP yang digambarkan sebagai anti-Melayu kerana doktrin ‘Malaysian Malaysia’,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk “Masa Depan Malaysia: Pandangan Perkasa” pada satu konvensyen mengenai isu semasa Malaysia di Australian National University (ANU), di Canberra, Australia, semalam.

Bagaimanapun, katanya dalam senario hari ini ia berubah kerana sindrom usia tua Umno semakin menjadi-jadi susulan beberapa faktor dalaman dan luaran yang teruk.

Beliau memberi contoh kejatuhan harga minyak dunia menyebabkan penyusutan perbelanjaan kerajaan dan menjejaskan ekonomi negara.

Selain itu, kontroversi mengenai 1MDB, kebimbangan misteri derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak, RM42 juta didakwa daripada SRC tidak diketahui dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri, cukai barangan dan perkhidmatan, tanggapan salah guna duit rakyat dan tuduhan di peringkat tertinggi kini meletakkan Umno dalam sindrom penafian yang sangat serius.

Ibrahim berkata kebanyakan orang Melayu dalam kedudukan di persimpangan atau lebih tepat lagi terperangkap dalam dilema politik kerana keresahan mereka apa akan jadi pada masa depan politik Malaysia jika Umno terus begitu.

Sehubungan itu, katanya Umno perlu mampu membaca apa yang rakyat zaman ini mahukan bagi memastikan ia terus relevan.

“Bagi Perkasa pula, kami akan hanya menyokong parti politik yang serius dalam perjuangan untuk melindungi takdir dan masa depan Melayu pasca 2020 dan era TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik),” katanya.

Mengenai hubungan kaum Melayu-Cina, Ibrahim berkata Perkasa tidak melihat sebarang masalah kerana ia akan hanya berlaku jika warganegara bukan Melayu gagal memahami realiti yang kaum itu masih jauh ketinggalan dalam aspek kehidupan, sosial, pendidikan, ekonomi, perdagangan dan kewangan.

“Jadi, masyarakat bukan Melayu tidak boleh melihat program dan dasar untuk Melayu sebagai diskriminasi atau langkah sistemik untuk meminggirkan mereka sebagai warganegara kelas kedua.

“Saya sebut perkara ini berulang kali kerana kesejahteraan Melayu amat penting untuk kemakmuran Malaysia dan keselamatan negara,” katanya.



Comments
Loading...