Pakatan pembangkang atur rundingan rasmi


Nga Kor Ming

(Sinar Harian) – Rundingan kerjasama politik antara parti pembangkang hanya akan berjaya jika Pas komited dengan usaha tersebut.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, ini kerana pihaknya percaya ada dalam kalangan pemimpin Pas yang tidak mahu rundingan itu direalisasikan.

“Saya percaya halangan utama membabitkan sebilangan pemimpin Pas. Bagi Pakatan Harapan, kami tiada masalah begitu juga parti Bersatu.

“Sekiranya mereka tidak mahu berunding, rakyat harus sedar bahawa mereka (pemimpin Pas) tidak lagi bersama dalam agenda reformasi untuk menggantikan Umno dan mungkin mempunyai niat untuk menyelamatkan Umno,” katanya.

Menurutnya, ahli dan penyokong Pas wajar memberikan tekanan kepada pimpinan mereka supaya kembali ke meja rundingan bagi mencerahkan peluang Pas mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU13.

“Jika tidak saya yakin Pas akan kalah di semua kerusi yang ditandingi di Selangor, Perak dan mungkin tinggal beberapa kerusi sahaja di pantai timur,” katanya.

Mengulas pertembungan satu lawan satu yang dianggap kaedah terbaik menewaskan BN, Kor Ming berkata, perkara itu diakui selain rakyat perlu sedar bahawa kerajaan yang memerintah gagal menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

“Ini sejarah dan ia sudah terbukti. Kami harap rakyat sedar dengan kegagalan yang dicipta BN selain bersama-sama melakukan perubahan dalam PRU14 nanti,” katanya.

Rundingan rasmi diatur

Sementara itu difahamkan satu perjumpaan akan diatur bagi memastikan rundingan secara rasmi bagi konsep satu lawan satu dicapai antara parti-parti pembangkang termasuk Pas.

Tidak menyebut bila rundingan rasmi itu akan diadakan, Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, pada dasarnya beberapa parti pembangkang telah bersetuju dengan konsep tersebut dalam beberapa siri perbincangan tidak formal (tanpa penyertaan Pas) sebelum ini.

“Sebenarnya dalam perbincangan sebelum ini (tanpa Pas), idea satu lawan satu ini sudah banyak kali disuarakan. Agak mengejutkan kerana konsep ini nampaknya diterima semua parti, tetapi kita lihat ini satu perkembangan sihat dan positif.

“Malah, semua pihak faham dan mengakui hakikat ini (perlunya satu lawan satu). Jika kita berjaya mencapai kesepakatan, kebarangkalian untuk kita menukar kerajaan adalah amat cerah.

“Untuk perbincangan rasmi nanti, kita akan berusaha untuk mendapatkan wakil Pas untuk bersama kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, parti-parti pembangkang juga telah bersetuju untuk mengutamakan agenda kerjasama berbanding kepentingan parti masing-masing.

“Kita sedar pembangkang akan jadi pembangkang selama-lamanya jika kita tidak dapat duduk dan bersepakat dalam konsep satu lawan satu ini.

“Jadi dalam pertemuan demi pertemuan yang diatur sebelum ini, kita telah bersetuju bahawa sudah sampai masanya pembangkang ambil alih pentadbiran kerajaan. Caranya, kita kena tolak kepentingan parti sendiri dalam menentukan kita sepakat untuk memperjuangkan wadah politik baru di negara ini,” katanya.

Kamarul Azman berkata, beliau yakin konsep ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Kalau ada halangan pun, mungkin jika ada pihak dari BN mahu pancing parti pembangkang bersama mereka. Tetapi saya rasa perkara itu mustahil.

“Paling penting parti pembangkang kena bertolak ansur serta menerima kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pada akhirnya, kita akan ketengahkan resolusi yang terbaik supaya kita berjaya tumbangkan BN dalam PRU14,” katanya.

 



Comments
Loading...