‘Hubungan mesra Anwar – Dr M: Apa kata Puteri Anwar’
(Sinar Harian) – Puteri kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha meminta agar isu ‘minta maaf’ antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan ayahnya tidak perlu diungkitkan lagi.
Nurul Nuha berkata, apa yang penting sekarang adalah perkongsian sikap kebersamaan mereka untuk mereformasikan agenda pembangunan negara.
“Saya rasa apa yang penting kita perlu bergerak kehadapan, persetujuan mereka adalah mengenai agenda pembaharuan antara Mahathir dan Papa (Anwar)…jadi apa yang papa buat adalah untuk kepentingan negara.
“Saya rasa itu tidak perlu lagi diungkitkan kerana sekarang saya sudah katakan pada kenyataan yang lalu kami sekeluarga akan sokong pendirian papa,” katanya kepada media selepas selesainya forum Detik Tercetusnya Reformasi di Kelana Jaya, malam tadi.
5 September lalu, Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertujuan menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Apa yang lebih menarik lagi, apabila sokongan itu disertakan dengan tautan salam daripada kedua-dua pemimpin yang dikhabarkan sudah 18 tahun ‘bermusuh’.
Dalam pada itu, terbaharu Mahathir dan Anwar mengeluarkan kenyataan bersama bagi menolak Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Perkembangan terbaharu ini sekaligus memperlihatkan dua seteru ini yang dahulunya adalah musuh ketat tetapi kini kembali bertaut semula dan semakin mesra.