‘Kalau Anwar tak boleh, lantik PM interim’


Saifuddin Abdullah

(Sinar Harian) – “Jika ia terhalang kerana beliau (Anwar) dipenjarakan, kita boleh melantik perdana menteri interim sementara menunggunya dibebaskan”

Pakatan Harapan memilih bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika kemenangan PRU14 berpihak kepada mereka.

Ketua Sekretariatnya, Datuk  Saifuddin Abdullah berkata, jika pilihan itu terhalang kerana Anwar sedang dipenjarakan, perdana menteri sementara perlu dilantik.

“Calon Pakatan Rakyat untuk menjadi perdana menteri adalah Anwar.

“Jika ia terhalang kerana beliau (Anwar) dipenjarakan, kita boleh melantik perdana menteri interim sementara menunggunya dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataannya di Facebook, semalam.

Kelmarin, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan besar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi perdana menteri jika pembangkang menang pada PRU14.

Dalam kenyataan sama, Saifuddin turut memberi contoh terhadap keadaan politik di Turki.

“Tayyip Erdogan dihalang daripada menjadi perdana menteri selepas partinya memenangi pilihan raya pada tahun 2002 kerana diharamkan memegang jawatan politik. Disebabkan itu, Abdullah Gul dilantik menjadi perdana menteri interim sehingga kerajaan membatalkan sekatan terhadap Erdogan pada tahun 2003.

“Tapi hari ini, elok fokus tubuh gabungan pembangkang yang lebih besar dahulu,” katanya.



Comments
Loading...