Jangan buat kacau di Sungai Siput, PSM beritahu PKR, DAP
PKR dan DAP didakwa masing-masing mahu meletakkan calon di satu-satunya kerusi Parlimen PSM yang dimenangi 8 tahun lalu.
(FMT) – Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mempertahankan satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu, Sungai Siput, sekiranya DAP dan PKR meneruskan hasrat meletakkan calon di sana tanpa persetujuan parti itu.
Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar berkata, kedua-dua parti itu perlu menghormati PSM dan berunding dengan mereka.
“DAP dan PKR tidak boleh kata kerusi Sungai Siput dipinjam kepada PSM. Kalau begitu, maknanya PSM tiada kerusi langsung. Sedangkan kita sudah bertanding di sana dalam 4 pilihan raya, dan menang 2 penggal.
“Jika kita kena berundur semata-mata atas alasan ingin mengelakkan pertembungan 3 penjuru dan menjamin kemenangan pembangkang, maknanya PSM gulung tikarlah. Kami terpaksa bertanding jika tak mahu ‘bunuh diri’,” kata ahli Jawatankuasa Pusat PSM itu kepada FMT.
Jeyakumar bagaimanapun berkata partinya sanggup membuat pertukaran dengan Pakatan Harapan sekiranya ditawarkan kerusi Parlimen di Selangor.
Seorang lagi ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan memberitahu FMT, hasrat DAP bertanding di Sungai Siput diluahkan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan seperti dilaporkan sebuah akhbar Tamil, sementara PKR Perak pula bercadang mahu meletakkan calon di situ pada satu mesyuarat PKR Sungai Siput kira-kira sebulan lalu.
Arutchelvan berkata, sekiranya ia berlaku, DAP dan PKR selaku “parti besar” akan mengucar-kacirkan barisan pembangkang.
“Kalau pertembungan banyak penjuru, kemungkinan yang menang akhirnya BN,” katanya lagi.
Pada PRU 2008, Jeyakumar menewaskan bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, yang memegang kawasan itu sejak 1974, dengan majoriti 1821 undi.