Pembangkang terima dana dari Hong Kong dan Australia


Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

(Agenda Daily) – Parti pembangkang di negara ini didakwa menerima sumbangan dana politik daripada banyak pihak di negara asing khususnya dari Hong Kong dan Australia.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, atas sebab itulah pembangkang sengaja mencari alasan remeh dan menimbulkan banyak kerenah dengan menolak cadangan menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Katanya, pembangkang berasa risau sekiranya sumber berkaitan pemberi dana akan didedahkan kepada umum dan seterusnya menyekat mereka daripada menerima dana sesuka hati.

Beliau berkata, idea bagi menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bertujuan memastikan proses pemberian dana politik yang lebih telus tanpa campur tangan asing.

“Sekiranya mereka (pembangkang) dapat dana daripada sumber yang benar, mengapa perlu menolak cadangan baik ini? Mereka seharusnya menyokong supaya rakyat dapat menilai ketelusan sesebuah parti,” katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Datuk Paul Low Seng Kuan mencadangkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal bagi menangani isu berkaitan politik wang yang telah lama wujud.

Namun, cadangan berkenaan ditolak oleh beberapa pemimpin parti pembangkang yang menganggap penggubalan akta berkenaan bakal memberi kelebihan kepada ahli politik Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, pihak pembangkang seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi cadangan yang bernas menggubal akta baharu berkenaan.

Katanya, segala tuduhan dan cemuhan yang selalu diungkapkan pembangkang berkaitan politik wang dan rasuah kepada kerajaan selama ini sepatutnya disambut dengan sokongan terhadap penggubalan akta tersebut.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mengingatkan pembangkang supaya tidak bersikap hipokrit dengan hanya bijak bercakap soal integriti semasa di atas pentas ceramah, namun tidak benar-benar melaksanakannya.

“Mereka (pembangkang) seolah-olah mengetepikan kepentingan integriti, ketelusan dan kejujuran yang sepatutnya menjadi agenda utama,” katanya.



Comments
Loading...