Tuduh Syiah sesat, masa untuk cermin diri
Syiah sekali lagi menjadi topik perbincangan dengan pihak berkuasa agama menghentam aliran itu, tanpa menyedari apa yang dituduh mereka juga berlaku di kalangan Sunni.
Farouk A Peru, Free Malaysia Today
Khutbah Jumaat di Selangor minggu lepas yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperhantukan umat Islam beraliran Syiah dengan menganggap mereka sebagai sesat.
Adakah ini tindakan adil atau mungkin Jais dipengaruhi unsur Wahabi yang membenci Syiah?
Di kalangan umat Islam, perpisahan antara puak “Sunnah Wal Jama’ah” dan Syiah sudah lama berlaku, iaitu sejak awal sejarah Islam.
Kita diberitahu yang perpisahan ini bermula disebabkan perbalahan yang berlaku selepas Nabi Muhammad wafat. Ada puak di kalangan umat Islam yang menyokong Abu Bakar As-Siddiq (sahabat Nabi yang amat akrab dan juga bapa mertuanya) sebagai pengganti Nabi dalam peranannya memimpin umat Islam.
Ada pula puak yang menyokong Ali bin Abi Talib (sepupu Nabi dan juga menantunya) sebagai pengganti.
Dalam konflik ini, penyokong Abu Bakar menang dan melantiknya menjadi khalifah Islam yang pertama. Namun begitu, 17 tahun kemudian, Ali yang lebih muda menjadi khalifah yang ke-4 selepas pembunuhan Uthman bin Affan.
Retorik Sunni
Keretakan politik yang bermula sejak awal ini tidak dapat dibaiki sehingga hari ini. Bahkan, dalam peredaran masa, perbalahan yang bermula dengan politik telah berubah wajah menjadi perbalahan yang berunsurkan teologi (ilmu ketuhanan).
Maksudnya, sementara hujah di zaman Abu Bakar yang beliau lebih sesuai daripada Ali menjadi khalifah merupakan hujah politik, hujah yang diutarakan generasi seterusnya pula berunsur teologi.
Ada hadis mencatitkan Nabi bersama sahabatnya Abu Bakar, Umar bin Al-Khattab dan Uthman bin Afffan di atas Bukit Uhud. Bukit itu bergegar dan Nabi menyuruh bukit itu berhenti bergegar kerana di atasnya ada seorang nabi, seorang khalifah (Abu Bakar) dan 2 orang syahid (Umar dan Uthman). Hairan Ali tidak bersama mereka!
Inilah peranan hadis sebagai alat politik untuk membenarkan kekhalifahan Abu Bakar dan mungkin kedua orang penggantinya.
Retorik Syiah
Begitu juga dengan Syiah. Kalau pada awalnya, mereka menekankan kelebihan Ali sebagai pemimpin yang berwibawa dan pahlawan unggul, dengan peredaran masa, mereka mengeluarkan hujah teologi pula.
Mereka menyatakan Ali sebahagian daripada “ahl al-bayt” yang bermaksud secara literalnya “ahli rumahtangga” dan dalam bahasa seharian merujuk kepada keluarga Nabi sendiri, khususnya anaknya Fatimah, menantunya Ali, dan cucunya Hassan dan Hussain.
Konsep “ahl al-bayt” ini menjadi tulang belakang ideologi Syiah pada hari ini. Teologi ini dianngap canggih dan amat menarik, sehinggakan ramai orang Barat menerima Islam pada hari ini.
Menyingkap hujah Jais
Berbalik kita kepada khutbah Jumaat di Selangor baru-baru ini. Mengapa, sejak akhir-akhir ini, pihak berkuasa Islam di Malaysia (yang sememangnya bertimbun!) mengkritik dan menyerang umat Islam aliran Syiah?
Tindakan sebegini tidak kelihatan 20-30 tahun yang lampau. Dahulu, kitab berunsur “kesyiahan” wujud dalam perpustakaan Islam Melayu. Saya sendiri pernah membeli kitab yang sedemikan semasa remaja.
Melalui kitab ini, saya mendapat tahu tentang kelebihan “ahl al-bayt” tetapi tidak pula saya terdorong menjadi Syiah.
Ini mungkin kerana kitab itu tiada unsur politik, seingat saya. Mereka lebih menekankan unsur kerohanian di mana keluarga Nabi dilihat sebagai contoh unggul dalam mempamerkan kerohanian ini.
Adakah kitab ini masih dicetak dan dijual di kedai buku di Malaysia?
Dalam khutbah Jumaat Jais, dikatakan kaum Syiah menganggap keturunan Nabi sebagai maksum. Ini bermaksud yang ahl al-bayt tidak boleh melakukan kesalahan dan juga tiada dosa. Ini dianggap Jais sebagai fahaman sesat.
Saya bersetuju yang fahaman ini memang tiada dalam Al-Quran bahkan juga melawan falsafah Al-Quran yang menggunakan kisah para Nabi untuk memberi hidayah kepada manusia tentang akhlak and moral.
Malah para nabi juga pernah menunjukkan kesilapan dan kelemahan. Mengapa Allah merekodkan kesilapan dan kelemahan tersebut? Mungkin kerana bertujuan menjadi tauladan kepada kita.
Sekiranya Allah memberi kisah orang yang maksum, maka susahlah manusia yang daif dan dangkal mencontohi mereka. Jika para Nabi pun tidak maksum, apatah lagi ahl al-bayt?