Kalau Dr M kembali menjadi PM…
Kini, Tun boleh menebus kekesalan yang wujud di hati sekiranya ada.
Timmy Say, Free Malaysia Today
Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi diberi peluang menjadi Perdana Menteri, apakah yang akan dibaikinya?
Persoalan ini timbul selepas media melaporkan Tun berjanji untuk mengembalikan royalti minyak kepada Kelantan sekiranya beliau, yang kini bersama pembangkang yang rata-rata terdiri daripada musuh politik beliau ketika beliau adalah PM, dapat mengalahkan Umno-BN yang diterajui anak muridnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Walaupun umum mengetahui kenyataan tersebut sekadar janji politik yang sukar dipercayai buat masa ini, namun di sebaliknya mungkin mengisarkan suatu jenis kekesalan akan tindakannya terhadap Kelantan ketika menjadi PM.
Selain royalti minyak dan tersilap pilih Tun Abdullah Badawi dan Najib sebagai PM, apa lagi kekesalan yang Tun rasai sehingga hari ini, terutamanya apabila melihat negara yang dibinanya selama 22 tahun semakin ketinggalan daripada Wawasan 2020 yang diimpikan olehnya buat negara?
Setelah menyertai pembangkang, apakah kini Tun terasa bangga atau sedih dengan sistem pilihan raya dan persempadanan yang dibuat ketika zaman beliau yang menyebabkan Umno-BN susah ditumbangkan?
Memahami kesukaran pembangkang mendapat liputan yang adil, apakah Tun kini terasa bangga dan sedih dengan kuasa yang dikurniakan kepada kerajaan dalam mengawal media tradisional di Malaysia?
Bagaimana pula dengan Umno? Apakah Tun kini bangga atau sedih dengan budaya dan sistem yang ditinggalkannya di dalam Umno, di mana anak muridnya Najib dapat ‘meningkatkan’ mutu budaya dan sistem tersebut sehinggakan isu sebesar 1MDB tidak mampu menghasilkan sedikit riak pun di dalam Umno? Bahkan mereka yang mempersoalkannya semua sudah menjadi pembangkang.