Air Selangor: Kepentingan rakyat didahulukan


SPLASH_AzminAli

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengambil berat tentang perkembangan pengambilalihan 4 konsesi air di Selangor yang telah berjalan sejak 2008. DPPNS bimbang sekiranya tidak diuruskan dengan baik, natijahnya adalah berlaku kepada pengabaian kepada hak-hak rakyat yang selama ini begitu selesa dengan kerajaan negeri sejak 2008 yang melibatkan PAS sebagai sebahagian daripadanya.

Apabila isu air ini timbul semula ekoran sidang Dewan Undangan Negeri awal bulan ini dan pendedahan media tentang fakta-fakta berkaitan, ia menimbulkan pertanyaan dan kerungsingan dalam kalangan rakyat. Apatah lagi sepanjang tahun ini berlaku dua kali dan lebih tentang masalah pembekalan air bersih.

Dengan pemerhatian kami dari yang ditimbulkan di media dan fakta-fakta yang berlaku, DPPNS merasakan perlu mewakili suara sebahagian rakyat tentang apa yang berlaku. Dan berharap kerajaan Negeri Selangor sekarang di bawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali dapat menyelesaikannya tanpa membebankan rakyat pada masa mendatang.

Berikut adalah perkara yang perlu dijelaskan kepada rakyat tentang isu yang berlaku:

1. Pakej RM9.65 bilion ringgit untuk 4 konsesi iaitu ABBAS, SYABAS, Puncak Niaga dan SPLASH.
2. Penambahan pengambilan ekuiti SPLASH dari RM250.6 juta kepada RM2.7 bilion. Lebih 10 kaliganda nilaian asal.
3. Ruang campurtangan Kerajaan Persekutuan sekiranya tidak selesai.

Pengumuman baru-baru ini tentang cadangan pengambilan 2.7 bilion ekuiti SPLASH menimbulkan persoalan kerana ia akan meningkatkan kos ambil alih dari RM9.65 bilion kepada RM12.1 bilion.

Sekiranya ini muktamad berlaku, bagaimana kerajaan negeri untuk mengurus tambahan 2.45 bilion.

1. Apakah kerajaan Selangor akan menggali khazanah perbendaharaan Selangor sebanyak RM2.45 bilion?
2. Alternatif lain untuk mendapatkan 2.45 bilion? Adakah perlu soft loan dari Kerajaan Perseketuan?
Sekiranya itu berlaku, apakah kesan kepada tarif air akan datang dan apakah gangguan pula kepada bekalan air kerana penangguhan proses penstrukturan air yang tidak selesai kerana konflik pertindihan RM2.45 bilion tersebut?

Maka, isu yang melibatkan dana kerajaan rakyat Selangor dan bebanan bekalan air kepada rakyat diselesaikan sebaiknya supaya misi menjaga kebajikan dan maslahah rakyat dicapai. DPPNS berharap juga amanah kepimpinan Islam dan imej pengurusan telus diteruskan dengan proses ayang meyakinkan supaya kerajaan Selangor yang ada terus diberi kepercayaan untuk memimpin pada masa-masa mendatang.

AHMAD HAKIMI OTHMAN
Pengarah Jabatan Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

 



Comments
Loading...