Amanah nasihat Pas jangan tunggu lama
(Sinar Online) – Pas perlu manfaatkan masa diberi sebelum memutuskan untuk bersama atau tidak dengan Bersatu dan Pakatan Harapan dalam mewujudkan pembangkang lebih besar.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, parti itu menghormati rundingan dilakukan Bersatu dengan Pas, tanpa menyimpan rasa marah atau dendam.
“Kami dalam Amanah, tidak marah atau berdendam dengan sesiapa. Kita dalam Pakatan Harapan juga tidak membantah, kami beri ruang untuk Bersatu berunding dengan Pas.
“Terpulang kepada Pas, bukan kami tidak beri ruang. Tetapi kami sekarang dah berada di landasan, ‘bersedia untuk berlepas’. Enjin dah panas, jadi tidak boleh tunggu lama-lama,” katanya.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memberi Pas masa sehingga tahun depan untuk putuskan sama ada ia akan bekerjasama dengan pakatan pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, syarat ditetapkan Pas akan bersama Bersatu sekiranya tanpa Amanah dan DAP perlu di fikirkan semula, demi kepentingan rakyat.
“Kalau mereka fikir begitu memang susahlah. Kita tidak fikir Pas, walaupun apa jua yang telah mereka lakukan. Kami dalam Amanah tidak fikir perkara itu, kami fikirkan kepentingan rakyat.
“Menyelamatkan rakyat lebih besar daripada kepentingan peribadi. Ego harus letak tepi. Bagi Amanah, kita mahu pakatan lebih besar. Tapi, kalau orang tidak mahu, kita tidak boleh paksa,” katanya.