Abdul Hadi pertahan tindakan, sedia letak jawatan
(Sinar Harian) – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakannya menghadiri Muktamar Tahunan Perpaduan Ummah kali ke-30 di Tehran, Iran baru-baru ini, demi pandangannya terhadap perpaduan ulama, tanpa mengira Sunni dan Syiah.
Menurutnya, ia bukanlah kali pertama beliau menghadiri muktamar itu memandangkan menjadi ahli Majma’ Taqrib, iaitu Majlis Antarabangsa bagi Pendekatan Mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran sejak penubuhannya pada tahun 1980.
“Saya hadir ke situ dengan pandangan saya terhadap perpaduan ulama, tanpa mengira Sunni dan Syiah, mereka perlu bersatu. Kena baca ucapan saya (di Tehran), saya tidak tunduk pada mana-mana kerajaan yang terpengaruh dengan Barat atau Timur.
“Apa yang penting ialah kepentingan Islam dan apabila ada desakan (pihak luar) ini, saya dah tulis surat kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) bahawa itulah pendirian saya. Saya tidak terpengaruh dengan dasar Qatar, Arab Saudi dan sebagainya,” katanya, dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya.
Beliau yang juga Naib Presiden KUIS menjelaskan, beliau telah menulis surat kepada Presiden KUIS, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi yang dikatakan mengecam tindakannya itu.
“Saya sudah tulis surat dan saya bersedia untuk letak jawatan (jika diminta). Saya pegang jawatan itu pun bukan saya minta, dia lantik saya. Saya hadir ke muktamar dia dan saya bersedia,” tegasnya.
Bagaimanapun, Abdul Hadi mempersoalkan kebenaran kesahihan kecaman yang didakwa dibuat oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi, memandangkan ulama itu terlalu uzur dan menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan.
“Saya tidak tahu kenyataan dia itu benar atau tidak. Guna alat (pendengaran) pun payah, mata pun tidak berapa nampak. Saya tidak tahu adakah benar daripada dia atau daripada orang lain. Surat saya hantar empat hari lepas melalui Setiausaha Agung Kesatuan (Syaikh Dr Ali Al-Qaradaghi) supaya dibaca oleh mereka.
“Saya mahu supaya kesatuan ulama ini ada pendiriannya sendiri, tidak dipengaruhi oleh negara Qatar atau mana-mana negara. Saya juga dijemput oleh ulama-ulama Sunni di Iran. Kita kena sedar, 30 peratus rakyat Iran adalah Sunni. Yang hadir muktamar itu, sebahagian besar adalah ulama Sunni dari Iran. Apa kita nak tengok kedudukan mereka?,” soalnya.
Abdul Hadi turut melahirkan rasa terkilannya apabila persidangan negara-negara Teluk dua minggu lalu, turut disertai Perdana Menteri British.
“Apa kedudukan British? Adakah British adalah negara Teluk? Mengapa hadir dalam sidang ini? Sidang ini telah membuat resolusi bersama menentang Iran. Bukan menentang Israel, tetapi menentang Iran. Ini, apa makna?,” tegasnya.