Apa ‘game’ tiba-tiba Setiausaha Agung PKR dilantik penasihat strategik Guan Eng?
Saifuddin bukan saja pernah berentap dengan Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR tetapi mereka dikatakan ‘ tidak sehaluan’ dalam politik.
(Agenda Daily) – Dalam politik memang tidak ada yang mustahil. Namun lantikan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai penasihat strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng boleh masuk kategori ‘pelik tapi benar’.
Dengar cerita ramai juga yang agak terkejut bila terbaca berita dan melihat gambar majlis angkat sumpah Saifuddin pegang jawatan itu Rabu.
Ikut cakap-cakap yang berlegar ini bukan sesuatu lantikan biasa.
Teropong dari jauh sudah dapat baca mesti ada ‘ game’ yang tersurat dan tersirat disebaliknya.
Dalam amalan politik di Malaysia belum pernah dengar sesuatu lantikan seumpama ini pernah dibuat.
Kalau dalam lingkungan BN…ibaratnya Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dilantik sebagai penasihat strategik kepada Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Kader
Soalan terbesar tentunya apa perlunya Saifuddin secara rasmi dilantik untuk beri nasihat strategik kepada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Melihat dari majlis angkat sumpah yang formal yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus sudah tentu gaji dan elaun Saifuddin akan ditanggong oleh kerajaan negeri.
Bukankah sebagai rakan dalam Pakatan Harapan…Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR dan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP boleh ‘ hello-hello’ bila-bila saja kalau nak sangat bincang soal-soal strategik.
Mereka juga boleh sembang sambil kena teh tarik tak kira waktu.
Selain itu ia boleh dibincang menerusi platform mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan yang diadakan dari masa ke semasa.
Juga bukankah dalam kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri sudah ada orang kuat PKR termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Exco Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Ketua AMK PKR, Dr Afif Bahardin.
Apakah Guan Eng tidak percaya kepada mereka untuk dapatkan nasihat strategik?
Juga jangan lupa Ketua Pengarah Strategi PKR pusat ialah Sim Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru,Pulau Pinang.
Apakah dari kaca mata Guan Eng beliau tidak layak beri nasihat strategik kepadanya ?
Saifuddin baru saja dilantik jadi Setiausaha Agung PKR pada 25 November lalu mengantikan Rafizi Ramli yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Beliau sebelum ini pernah jadi Setiausaha Agung PKR pada tahun 2010 dan letak jawatan pada 2014 kerana bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang dimenang oleh Datuk Seri Azmin Ali.
Saifuddin pernah jadi Ahli Parlimen Machang Kelantan yang dimenanginya pada pilihanraya umum 2008. Pada pilihanraya umum 2013 beliau bertanding kerusi Parlimen Kulim Bandar Bharu namun tewas ditangan calon BN Datuk Aziz Sheikh Fadzir.
Sebelum dilantik kembali jadi Setiausaha Agung beliau ialah Pengarah Pilihanraya PKR.
Sepanjang jadi Pengarah Pilihanraya PKR nama Saifuddin agak sepi dalam arus perdana politik tanahair.
Merenung dari rentetan jatuh bangun karier politik Saifuddin dalam PKR,ada yang nampak game lantikan beliau sebagai penasihat strategik Guan Eng berkait rapat dengan agenda besar DAP dalam kontek politik nasional dan Selangor.
Sudah tentu Saifuddin tidak dilantik ke jawatan itu untuk beri nasihat strategik kepada Guan Eng mengenai Pulau Pinang.
Ia juga dikatakan ada kaitan dengan ‘ power play’ dalam PKR sendiri.
Saifuddin bukan saja pernah berentap dengan Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR tetapi mereka dikatakan ‘ tidak sehaluan’ dalam politik.
DAP dikatakan lebih gemar Datuk Seri Dr Wan Azizah jadi Menteri Besar Selangor semasa peralihan dulu ekoran penyingkiran Tan Sri Khalid IBrahim menerusi Langkah Kajang berbanding Azmin.
Azmin mendapat ‘nyawa’ hasil sokongan PAS sehingga dilantik ke jawatan itu.
Pelik ke tidak…kenapa masa berjawatan Pengarah Pilihanraya PKR dulu DAP tidak ada ilham nak lantik Saifuddin sebagai penasihat strategik Guan Eng.
Kenapa bila sudah berjawatan Setiausaha Agung PKR tiba-tiba DAP dapat ilham untuk wujudkan jawatan itu.
Bodoh sangat kalau kita tidak terfikir soalan yang sukar diselindung itu.
Entah-entah siapa tahu…Azmin pula tiba-tiba dapat wahyu dan terbuka pintu hati untuk melantik Guan Eng pula jadi penasihat strategik kepada Menteri Besar Selangor.
Ini baru lawak awal tahun yang cacamarba.