ROHINGYA DAN KITA (SIRI 1): Syria di seberang lautan nampak, Rohingya di depan mata tak nampak?
DARI SUDUT LAIN
Dalam keadaan ramai pihak sedang berbicara hangat mengenai Syria, entah kenapa isu Rohingya masih dipandang sepi. Padahal Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu telah menyatakan etnik Rohingya sebagai ‘minoriti paling tertindas di dunia’. Dalam keadaan Rakhine yang jaraknya sekadar beberapa ribu kilometre sahaja dari tanah air ini, (tidak sampai dua jam perjalanan pesawat), kita lebih menumpukan isu nun jauh Asia Tengah dari kemelut di rantau kita sendiri.
Baru-baru ini, 23 badan aktivis hak asasi manusia termasuk beberapa pemenang anugerah nobel keamanan telah menghantar surat terbuka kepada PBB, supaya menangani masalah Rohingya dengan pro-aktif. Mereka turut menempelak Aun San Suu Kyi, pemimpin Myanmar yang juga pernah memenangi Nobel Keamanan kerana membisu tentang isu ini, walaupun beliau sendiri pernah berjanji untuk menanganinya andai berjaya menguasai Myanmar. Sekiranya beliau masih meneruskan sikap prejudisnya itu, para pemenang nobel yang lain mendesak supaya anugerah tersebut ditarik balik darinya.
Sejurus setelah Timbalan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berucap dalam program bersama Perdana Menteri Malaysia dalam isu Rohingya ini, portal rasmi kesatuan tersebut terus mengeluarkan kenyataan menyokong usaha tersebut.
Nampaknya pihak luar lebih mengambil berat tentang masalah rantau kita, saudara seagama kita!
Walaubagaimanapun, ucapan syabas patut diberikan kepada Perdana Menteri kita apabila berani membidas pemimpin Myanmar termasuk Aun San Suu Kyi kerana membiarkan penindasan Rohingya berterusan. Tindakan ini bukan suatu yang boleh dianggap kecil. Akhbar New Straits Times melaporkan, pertama kali dalam sejarah sebuah negara ASEAN membidas negara ASEAN yang lain.
Namun ia masih belum mampu membina mood rakyat Malaysia untuk merasai peri pedih kesengsaraan Rohingya. Media-media juga seakan tidak berperanan dalam membina gelombang kesedaran ini. Tidak seperti isu-isu kemanusiaan yang lain.
Keterangan gambar: Mohamad Shohayet, bayi Rohingya berusia 16 bulan ditemui mati lemas dalam keadaan terdampar di dalam lumpur perairan laut, akibat lari dari wilayar bergolak Arakan. Gambar ini persis Aylan Kurdi, bayi Syria yang juga ditemui mati lemas di perairan laut dipercayai lari dari pergolakan Syria tidak lama dahulu. Kenapa gambar Aylan mudah tersebar ke setiap ceruk, tetapi Mohamad seolah dipandang sepi?
Ucapan syabas juga patut diberikan kepada Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kerana berani mengunjungi Jeneral tentera Myanmar dalam mencari penyelesaian isu Rohingya. Media melaporkan Tan Sri Zulkifeli berpesan kepada Jeneral Myamnar tentang gerakan teroris Islamic State (IS) boleh masuk campur sekiranya ia tidak ditangani secara berhemah.
Namun masih ada yang mempertikaikan seolah lawatan itu tidak wajar kerana kerajaan Myanmar sedang membantai saudara kita di wilayah Rakhine. Sekiranya penyokong PAS boleh menerima kunjungan Tuan Guru Abdul Hadi ke Tehran dalam menyelesaikan konflik di Syria, kenapa pula kita tidak patut mengiktiraf usaha bekas panglima ATM ke Myanmar? Sebarang usaha yang baik perlu disokong. Setidaknya mereka tidak berdiam diri.