PKR sedia terima DAP jadi TPM
(Berita Harian) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia menerima wakil DAP menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin, berkata penerimaan itu adalah bukti keterbukaan ditonjolkan dalam parti pembangkang, yang terdiri daripada pelbagai parti berbilang kaum.
“Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum,” katanya dipetik menerusi artikel diterbitkan sebuah portal berita, Antarapos, semalam.
Bagaimanapun, Zuraida mengakui, tidak pernah mendengar sendiri permintaan itu daripada DAP, yeng menjadi sekutunya sejak dalam Pakatan Rakyat lagi.
“Pada prinsipnya, saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang kaum.
“Kita tidak pernah dengar mereka menyatakan hasrat itu. Kita dalam Pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan benda-benda macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
Beliau mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa DAP pernah memohon untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri andai pakatan pembangkang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum.
Bagaimanapun, baru-baru ini Dr Mahathir seakan membuat pusingan U apabila menyatakan pendedahannya sebelum ini silap, sebaliknya memaklumkan yang meminta jawatan nombor dua kerajaan itu disuarakan MCA.