KACAU KERUSI PAS TAPI PAS PULA YANG DISALAHKAN
Tuduhan terkini dari pemimpin PAN adalah Blok Ketiga merupakan proksi BN untuk melemahkan pembangkang.
Tuduhan ini seperti banyak tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan parti itu adalah meleset.
Sekiranya terdapat 2 pakatan pembangkang maka serangan-serangan terhadap BN akan bertambah.
Dengan 2 pakatan pembangkang, lebih banyak pendedahan penyelewengan-penyelewengan BN yang akan dapat dilakukan.
Maka ini tidak mungkin akan menguatkan BN tetapi disebaliknya akan melemahkannya.
Sementara tentang pertandingan 3 penjuru semasa pilihan raya umum akan datang, PAS juga tidak seharusnya dipersalahkan jika ia berlaku.
Apabila berlaku 3 penjuru kerana parti Pakatan Harapan memasuki kawasan yang dimenangi oleh PAS atau kawasan yang ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum yang lepas, tidak wajar untuk menuding jari kepada PAS.
Adalah tidak masuk akal PAS yang bersalah apabila parti-parti lain yang mengacau kerusi PAS.
Tambahan pula jika konsep 2 penjuru ini tidak lagi dihormati oleh parti-parti lain maka kenapa pula PAS perlu menghormatinya?
Saya menasihatkan pemimpin PAN agar hentikan serangan terhadap PAS tetapi tumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka
Kehadiran PAN telah menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara.
Oleh itu, memang tepat saranan agar PAN bergabung dengan parti lain tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan. Saya mencadangkan agar PAN bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.
Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin PAN boleh diperuntukan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah.
Dato’ Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor