ROHINGYA DAN KITA (SIRI 2): Rohingya diusir di tanah sendiri
DARI SUDUT LAIN
Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya, apakah punca sebenar krisis yang berlaku di Rohingya pada hari ini. Ramai yang menulis menceritakan apa yang berlaku kini, tidak kurang yang mencadang berbagai bentuk penyelesaian. Namun, tidak banyak yang menerangkan tentang hakikat Rohingya.
Rohingya adalah salah satu suku kaum yang menetap di wilayah Arakan, yang kini dikenali sebagai Rakhine. Mereka adalah suku yang sudah menetap di sana sejak beratus tahun dahulu, sebelum dari Myanmar mencapai kemerdekaan dari penjajah Inggeris lagi. Orang Rohingya adalah beragama Islam. Jumlah mereka dianggarkan 1.5 juta orang mewakili kira-kira 2 peratus peduduk Myanmar.
Rakhine pula berada di sempadan Bangladesh, dan terpisah dengan wilayah-wilayah Myanmar lain dengan gunung-ganang di sekelilingnya. Di sana terdapat beberapa etnik yang lain seperti Chin dan Kaman. Namun, muslim Rohingya sahaja sudah mewakili separuh dari penduduk Rakhine.
Sebagaimana yang dinyatakan, wilayah Rakhine atau Arakan ini sudah wujud sejak lama dahulu. Islam datang ke sana se awal kurun ke 7 atau 8 masihi. Pada ketika itu, Arakan ini adalah sebuah negara berdaulat yang terpisah dari Burma.
Apabila penjajah masuk, mereka telah meletakkan Arakan di bawah pentadbiran British di Burma. Setelah kemerdekaan dicapai, Rakhine bukan sahaja terus diletakkan di bawah Burma, malah kerajaan tersebut tidak pula menyenaraikan Rohingya sebagai salah satu etnik yang menjadi warganegara Burma.
Apabila digubal Undang-Undang Kewarganegaraan Burma (Citizenship Act of Burma) pada tahun 1982, diskriminasi terhadap Rohingya terus berlanjutan. Mereka bukan sahaja tidak tersenarai sebagai rakyat, tetapi kerajaan Burma secara zalim melancarkan kempen mengusir menghapuskan pendatang asing, dengan mensasarkan Rohingya di wilayah Rakhine sebagai ‘pendatang’ utama yang harus dihapuskan. Maka berlakulah siri-siri penindasan, pengusiran, perhambaan, rogol, bunuh dan seumpamanya.
Penganut Budhha termasuk sami-sami mereka digunakan untuk menjayakan kempen ini. Atas semangat keagamaan, mereka mengerah pemuda-pemuda awam Buddha menyerang perkampungan Rohingya dengan apa jua cara, termasuk membekalkan senjata kepada orang awam. Islam dimomokkan sebagai ajaran karut, ganas dan bahaya yang perlu dihapuskan segera.
Keadaan telah menyebabkan hampir beratus ribu kaum Rohingya terpaksa keluar dari perkampungan mereka. Ada yang menyeberang ke Bangladesh. Ada yang memilih ke Pakistan, Indonesia, dan Malaysia. Namun atas kekangan kewangan, keselamatan dan undang-undang, masih ramai Rohingya yang berada di wilayah tersebut.
Sekiranya isu Rohingya diselesaikan sebagaimana kontrak sosial Tanah Melayu era kemerdekaan dahulu, tentu isu ini telah lama selesai. Ia dengan cara mengiktiraf semua etnik yang ada di tanah melayu sewaktu Inggeris keluar sebagai warganegara yang sah. Walaupun hakikatnya warga Cina dan India datang dari negara China dan India, tetapi mereka memiliki status warganegara.
Malangnya semangat perkauman dan fanatik keagamaan masih menebal pada diri masyarakat dan pemerintah Myanmar. Ini menyebabkan Rohingya terus dinafikan hak sehingga kini. Justeru campur tangan pihak asing berbentuk tekanan, kecaman dan cadangan perlu dilakukan terhadap kerajaan Myanmar kerana ia melibatkan masalah hak asasi manusia.
Tambahan pula, Rohingya berada di wilayah yang hampir dengan berbagai negara berkependudukan Islam seperti Thailand, Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan Pakistan. Mana mungkin umat Islam boleh membiarkan sahaja saudara mereka terus ditindas sedemikian rupa. Keadaan mereka tidaklah terlalu berbeza dari nasib muslim di Palestin mahupun Syria, yang memerlukan pembelaan dari muslim seluruh dunia.