‘Tun M Berjaya Tenggelamkan Anwar, Jinakkan Kit Siang Dan Mandulkan Mat Sabu’ – Dr Zuhdi


mahathir_ppbm_in_a_hat

(Malaysian Digest) – Anwar Ibrahim sudah berjaya beliau tenggelamkan. Lim Kit Siang telah berjaya beliau jinakkan. Mohamad Sabu telah berjaya beliau mandulkan.

Setelah menyertai Pakatan Harapan secara rasmi, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat menjadi peneraju utama pembangkang sekaligus menenggelamkan parti komponen asal pakatan berkenaan – DAP, PAN dan PKR.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, dalam erti kata lain, Dr Mahathir adalah ketua blok Pakatan Harapan sebenar dalam usaha pembangkang melawan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kepada PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia – BERSATU), PKR, DAP dan PAN (Parti Amanah Negara – AMANAH).

“Anwar Ibrahim sudah berjaya beliau tenggelamkan. Lim Kit Siang telah berjaya beliau jinakkan. Mohamad Sabu telah berjaya beliau mandulkan.

“Mahfuz Omar telah berjaya beliau perbudakkan,” kata Dr Zuhdi dipetik lidah rasmi PAS, Harakah Daily

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir mendakwa Pakatan Harapan tidak memerlukan PAS untuk berdepan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Jelas Dr Zuhdi, kenyataan bekas Perdana Menteri itu dibuat bukan kerana beliau memandang rendah terhadap PAS tetapi bimbang akan pengaruh PAS yang boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap blok pembangkang.

“Dr Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua perdana menteri yang berada di atasnya, daripada Tunku Abdul Rahman sehingga perdana menteri sekarang.

“Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak.

“Dengan sifat diktator politik inilah Dr Mahathir mencantas semua pimpinan Umno dan timbalan perdana menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Anwar Ibrahim,” katanya.

Tambah beliau, Dr Mahathir juga tidak teragak-agak untuk menyanggah Raja-Raja Melayu dengan sifat diktatornya dalam usaha memaksa orang ramai tunduk akan percaturan politiknya.

Mengulas lanjut, penguasaan diktator Dr Mahathir hanya boleh ditandingi PAS sebagai kuasa politik kedua terbesar negara selepas UMNO.

Sebab itu, Dr Mahathir sangat tidak mengalu-alukan PAS, meskipun Muhyiddin Yassin amat mengharapkan hubungan itu,” katanya.

Jelas Dr Zuhdi lagi, pendirian PAS yang begitu konsisten dalam usaha memartabatkan syariah Islam dan hak orang Melayu juga menjadi punca penolakan jalinan PAS-PPBM disebabkan strategi berkenaan bertentangan dengan prinsip Dr Mahathir.



Comments
Loading...