DAP berlagak Kingmaker politik Malaysia
DARI SUDUT LAIN
Sehari dua ini media isu politik tanahair banyak berputar tentang isu DAP. Selain dari pendedahan tidak sengaja Tun M tentang permintaan DAP untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan jika memerintah Malaysia, isu yang dikira hangat juga adalah perubahan mengejut sikap Lim Kit Siang terhadap PAS. Daripada seteru ketat selepas PAS bertekad mengaplikasikan syariah Islam di Kelantan, berubah kepada permohonan menjadi sekutu atas alasan mengelak Malaysia dari menjadi kleptokrasi.
Isu-isu ini menggambarkan betapa besar hasrat DAP ke atas Malaysia. Mereka mahu menjadi kingmaker dalam politik Malaysia. Walaupun di bibir mereka kerap mengulang mereka tak mampu menguasai Malaysia kerana hanya bertanding sekitar 45 kerusi, tetapi hakikatnya kini mereka sudah lebih berkuasa dari komposisi kerusi yang dimiliki.
Pada tahun 2008, Anwar Ibrahim pernah menyatakan bahawa DAP menguasai Perak walaupun mereka hanya pmemiliki 18 orang ADUN daripada 59. Ini kerana mereka berjaya menguasai Menteri Besar daripada PAS, Nizar Jamaluddin. Anwar juga menyatakan mereka turut berkuasa di Selangor, walaupun cuma memiliki 13 orang ADUN daripada 56. Dan sudah tentulah mereka sangat berkuasa di Penang. Hatta di Kelantan yang mereka tidak miliki walau satu kerusipun, mereka turut cuba mengawal. Mereka tekan Kelanta supaya tidak mngaplikasikan syariah Islam, sehingga sanggup menguburkan Pakatan Rakyat.
Matlamat DAP terhadap Malaysia sangat jauh, justeru strateginya juga teramat licik. Mereka sanggup bersekongkol dengan Tun M untuk memecahbelahkan Umno walaupun bekas PM itu musuh ketat zaman berzaman. Mereka juga menyerang PAS dengan melobi orang-orang tertentu menguasai PAS, seterusnya menaja mereka menubuhkan parti baru setelah gagal menguasai PAS. Terkini mereka telah menembusi dalaman PKR apabila menundukkan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution dengan jawatan penasihat strategik Ketua Menteri Penang.
Secara tidak sedar, mereka sudah memainkan peranan dalam semua parti-parti majoriti melayu yang ada. Hanya yang menghalang kini adalah PAS, apabila kajian Invoke Centre mendapati PAS masih memiliki 21% undi, disamping PH 24% dan Umno 40%. Kajian yang dikepalai Rafizi itu mendakwa 90% pengundi PH adalah bukan melayu.
Ini bermakna mereka perlukan undi melayu bagi menambah peratus undi PH. Kewujudan PKR, PAN dan Pribumi tidak memberi kesan yang signifikan terhadap undi melayu. Mahu atau tidak, mereka terpaksa pujuk PAS. Maka itulah latarbelakang sketsa yang kita lihat dibuat oleh Lim Kit Siang tempohari. Demi menjayakan cita-citanya sebagai TPM dan Menteri Kewangan, dua jawatan yang hakikatnya lebih besar dari jawatan seorang PM.