Siapa paling berkuasa dalam PPBM… Mahathir atau Muhyiddin? – soal PAS


muh-pcvvxx

(Agenda Daily) – Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan.    

Kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diminta menyelesaikan persoalan siapa pemimpin nombor satu mereka, samada Tun Mahathir Mohamad ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PPBM perlu menyelsaikan perkara itu terlebih dahulu kerana ia melibatkan masalah dalaman parti yang tidak boleh dicampuri PAS.

“Ini urusan dalaman parti PPBM yang sepatut diselesaikan, sampai ada orang tanya siapa presiden sekarang dalam Bersatu (PPBM) ni?, soal beliau lagi.

Menurut beliau, PAS keliru terhadap tindak-tanduk  Mahathir yang melebihi Muhyiddin sebagai Presiden PPBM dalam mengeluarkan kenyataan bersabit kerjasama dengan parti itu.

Menurut Tuan Ibrahim Mahathir hanya sekadar penasihat parti yang tidak terlibat dalam perbincangan dan rundingan yang berlaku antara PPBM-PAS.

“(Sekarang) ni presiden parti adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat. Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan.

“Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz memahami apa yang kita bincang selama ni pun, cuma saya fikir PPBM perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga,” katanya.

Sebelum ini Mahathir menyalahkan PAS akan menjadi penyebab memecah-belahkan undi pembangkang sekaligus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Malah Tuan Ibrahim menafikan PAS adalah parti yang ‘degil’ untuk diajak bekerjasama, sebaliknya parti itu sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti, asalkan mereka menghormati dasar perjuangan masing-masing.

“PAS sentiasa buka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang menghormati dengan apa yang diperjuangkan PAS, kita perlu menghormati sebagaimana PAS menghormati dasar-dasar parti lain.

“PAS bukan parti yang keras, degil nak bincang sebab dalam banyak-banyak parti politik di Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti yang mengadakan hampir kerjasama dengan semua parti-parti yang ada hari ini,” tegas beliau.



Comments
Loading...