Tunku Aziz dakwa Kit Siang telah ‘dibeli’ Mahathir
(Agenda Daily) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang kini dilihat seolah-olah telah ‘dibeli’ oleh Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendakwa, tindakan Kit Siang juga kini dilihat terlalu ‘menjaga’ Mahathir dan mengikut telunjuknya sahaja.
“Kit Siang kini telah diikat oleh Mahathir, sayapnya telah dipatahkan serta hilang sudah taringnya malah ramai juga menganggap dia telah ‘dibeli’ pengerusi PPBM itu.
“Sebagai contoh, mengenai skandal Bumiputera Malaysian Finance (BMF) dan Forex yang melibatkan Mahathir, dia (Kit Siang) hanya mengambil langkah berdiam diri sahaja,” katanya.
Menurut Tunku Aziz, ketika skandal itu berbangkit, pendirian Kit Siang amat konsisten dan pernah menggelar Mahathir yang kini sekutu kuatnya sebagai penyangak.
“Kit Siang terpaksa berlembut dengan Mahathir walaupun pernah menggelar pemimpin itu penyangak.
“Namun Kit Siang sehingga kini masih berdiam diri dalam skandal BMF yang ada kena mengena dengan Mahathir.
“Justeru, saya minta Kit Siang nyatakan pendiriannya mengenai skandal yang dikaitkan dengan pentadbiran Mahathir selama 22 tahun, demi ketelusan dan akauntabiliti yang diperjuangkannya selama ini,” katanya.
Tunku Aziz hairan mengapa sehingga hari ini Kit Siang tidak bersuara dalam isu berkenaan sedangkan beliau antara pemimpin paling lantang menuntut supaya Mahathir disiasat berhubung skandal BMF.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendesak satu kertas siasatan dibuka berikutan dakwaan CIA, wujudnya penyelewengan membabitkan BMF dan Forex semasa era pemerintahan Mahathir.
Sementara itu, beliau juga sempat memerli tingkah laku Kit Siang mengenai skandal ini dan mengatakan dia kini sudah menjadi seorang yang ‘pemalu’
“Dia sebelum ini sangat lantang bersuara mengecam tindakan Mahathir satu ketika dulu kini sudah menjadi seorang yang sangat pemalu,” katanya lagi.