Jawatan Menteri Kewangan: Kit Siang tiru taktik Anwar
DARI SUDUT LAIN
Walaupun isu pendedahan Mahathir tentang DAP yang meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri masih baharu iaitu kira-kira dua minggu yang lalu, tetapi rakyat kini sudah lupa akan hal tersebut. Timbul sahaja isu baru, isu lama terus hilang.
Semua ini adalah kesan permainan media. Jika mereka mahu isu itu berpanjangan, mereka akan mainkannya walaupun kecil. Tetapi jika mereka tidak mahu, ia akan segera dialih dengan isu lain walau sebesar manapun.
Ini termasuk dalam praktis agenda setting, priming dan framing dalam dunia media. Boleh baca huraian lanjut teori media ini di sini:
Jangan sesekali kita terikut dengan permainan media sebegini. Fakta-fakta semasa harus sentiasa disimpan dalam memori supaya penilaian kita terhadap dunia sentiasa berasaskan realiti, bukan ilusi yang dicipta media tidak bertanggungjawab. Selain itu, berita semasa perlu dibaca melalui beberapa sumber berbeza bagi mendapat gambaran yang holistik dan adil.
Berbalik kepada isu DAP, taktik meminta jawatan Menteri Kewangan sebenarnya satu strategi untuk menguasai negara dengan jalan pintas. Mengikut pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi DAP, Tunku Aziz, Lim Kit Siang telah meminta jawatan TPM dan Menteri Kewangan sebagai syarat untuk menerima tawaran Mahathir yang mahu anaknya Mukhriz dilantik sebagai PM.
Rujuk:
http://www.nst.com.my/news/2017/01/201581/tunku-abdul-aziz-dares-mukhriz-kit-siang-make-sd
https://www.youtube.com/watch?v=H5YnT5zqmQM
Strategi ini pernah diamalkan oleh Anwar Ibrahim ketika berada di dalam Umno. Mahathir melantik Anwar menteri kewangan ketika negara sedang berhadapan kewangan, apabila Bank Negara kerugian billion ringgit akibat urusniaga Forex. Bukan kerana Anwar seorang yang hebat dalam kewangan, tetapi kerana beliau sanggup melindungi masalah kewangan itu dari diketahui awam termasuklah menipu di dalam parlimen sebanyak dua kali.
Baca:
http://www.malaysia-today.net/bnm-lost-us10b-in-forex-market-in-1990s-video/
http://www.malaysiaoutlook.com/the-real-story-behind-anwars-appointment-as-finance-minister/
Mahathir tahu Anwar seorang yang bahaya untuk jawatan itu kerana boleh menggugat kedudukannya sebagai PM suatu hari nanti. Tetapi beliau sudah tiada pilihan di masa itu. Lalu disuruh Daim Zainuddin berundur dari Menteri Kewangan untuk diberikan kepada Anwar.
Seperti yang diramalkan, jawatan Menteri Kewangan digunakan sebagai batu loncatan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno, seterusnya TPM. Tidak lama selepas itu, timbul desas-desus Anwar mahu bertanding jawatan Presiden Umno. Namun Mahathir lebih licik. Dengan kuasa yang dimiliki, beliau berjaya menyingkirkan Anwar dari saingan sebagaimana beliau pernah menyingkir Ghafar Baba dan Ku Li.
Kini, idea itu dikitar semula oleh Lim Kit Siang. Beliau seakan tahu bahawa sukar bagi DAP meraih kuasa tertinggi negara melalui sistem demokrasi yang normal atas faktor persepsi rakyat dan demografi negara. Maka kaedah pintas untuk mengatasinya adalah mengambil peluang dari individu berkepentingan peribadi seperti Mahathir. Walaupun Kit Siang sendiri pernah menyerang Mahathir di parlimen atas isu BMF dan Bank Negara ini, tetapi kerana matlamat politik beliau sanggup menyembunyikan perkara itu.
Boleh baca kupasan lanjut di:
http://www.malaysia-today.net/mahathir-and-daim-used-anwar-to-hide-the-us10-billion-forex-loss/