Bank Negara dan Dr Mahathir: 5 soalan untuk Kit Siang


mahathir-kit siang

Semua soalan ini pernah diajukan Kit Siang kepada Dr Mahathir yang kini menjadi sekutu politiknya

Oleh Edwin Michael, Free Malaysia Today

Dengan rendah diri, saya memohon agar Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang bersekolah dengan saya terlebih dahulu sebelum merendah-rendahkan intelek orang lain.

Lima perkara penting yang gagal dijawab oleh rakan pembangkang anda terutama dalam soal skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) ialah seperti berikut.

1. Apakah kerugian sebenar yang dialami BNM hasil kegiatan spekulasi di dalam pasaran hadapan tukaran matawang asing sejak 1992? Kerajaan hanya mengakui BNM mengalami kerugian RM5.7 bilion pada 1993 dalam tukaran matawang asing.

BNM tidak mengakui ia juga mengalami masalah kerugian dalam tukaran matawang asing pada 1992 walaupun pada hakikatnya, BNM mengalami kerugian atas kertas sebanyak RM9.3 bilion.

2. Sejauh manakah kebenaran kenyataan menteri kewangan ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau mengarahkan BNM memberhentikan kegiatan urusniaga tukaran matawang asing hadapan apabila menyedari kerugian dalam urusniaga matawang asing bank tersebut sejak Oktober 1992.

Jika ini benar mengapa BNM masih mengalami kerugian dalam urusniaga tukaran matawang asing pada 1994 sedangkan kesemua kontrak tukaran matawang asing seharusnya berakhir pada 1993?

Malah persoalan mengapa BNM perlu menyediakan “contingent liability” dengan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada 1994 yang disebabkan oleh urusniaga tukaran matawang asing tidak pernah dijawab oleh Anwar.

3. Sejauh manakah kebenaran spekulasi BNM dalam pasaran tukaran matawang asing hadapan dalam tahun 1992 mempertaruhkan RM270 bilion iaitu 3 kali ganda keluaran dalam negara dan lebih 5 kali ganda rizab simpanan asing negara ketika itu?

Kini, bukankah anda harus mengutuk tindakan tidak bertanggunghjawab ini kerana ianya melibatkan wang para pembayar cukai?

4. Sejauh manakah kebenaran jaminan yang diberikan oleh menteri kewangan ketika itu semasa soal jawab Parlimen pada 19 Julai 1993 bahawa BNM tidak mengalami sebarang kerugian tambahan atau baru dalam urusan tukaran matawang asing setakat Julai 1993, tetapi hakikatnya ia mengalami kerugian sebanyak RM5.7 bilion pada akhir Disember 1993?

5. Sudah berapa lamakah BNM terlibat spekulasi urusniaga matawang asing ini dan berapakah jumlah keuntungan yang diperolehi sejak BNM membabitkan diri dalam spekulasi urusniaga tukaran asing ini sehingga menyebabkan kerugian yang amat besar kepada bank pusat itu dan pembayar cukai Malaysia?

Untuk pengetahuan Kit Siang, kesemua soalan yang diajukan ini adalah berdasarkan penyata rasmi Parlimen ke-8 penggal ke-4 bertarikh 3 Mei 1994 (muka surat 1837-1842), yang mana ahli Parlimen Gelang Patah sendiri mengajukan soalan seperti yang dinyatakan ini selaku wakil rakyat Tanjong.

Dan ironinya, individu yang anda serang atas tuduhan menyebabkan kerugian berbilion ringgit melibatkan wang para pembayar cukai negara ini kini merupakan sahabat politik anda.

Saya tidak faham bagaimana anda bersama-sama dengan sahabat anda yang terlibat secara langsung dalam skandal forex BNM ini atas kapasiti pemimpin negara ketika itu memiliki kredibiliti untuk kononnya mahu selamatkan negara pada hari ini.

Edwin Michael ialah pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.



Comments
Loading...