ROHINGYA DAN KITA (SIRI 6): Petugas kemanusiaan tidak dibenarkan masuk ke Arakan


Sudut

DARI SUDUT LAIN

Tanggal 9 Januari jam 3.10 petang waktu tempatan, selepas hampir seminggu Nautical Aliya berlayar, akhirnya kapal yang membawa rombongan sukarelawan misi Food Flotilla for Myanmar itu berlabuh di Pelabuhan Antarabangsa Thilawa (MITT), Yangon, Myanmar. Mereka disambut oleh  Menteri Luar Myanmar, Dr Winmyat Aye, Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd Haniff Abdul Rahman, Timbalan Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Rizal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Bachok, YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

Ikuti lintas langsung perkembangan misi ini melalui laman rasmi Food Flotilla dan juga laman facebook wartawan Harakah:
http://www.foodflotilla.com/beritasemasa/page/1
https://www.facebook.com/harakah.kedah?fref=ts

Mengikut laporan yang diterima daripada Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, mereka telah memohon untuk masuk sehingga ke Sittwe dan Maungdaw yang terletak di wilayah Rakhine. Malangnya ia ditolak oleh kerajaan Myanmar atas beberapa alasan.

Apabila pihak rombongan menyatakan ingin menyampaikan sendiri bantuan ke tangan masyarakat Rohingya, kerajaan Myanmar sebaliknya berjanji akan menyampaikan sendiri bantuan tersebut. Oleh sebab  itu sebahagian bantuan diturunkan di pelabuhan Yangon sahaja. Pihak kedutaan Malaysia di sana akan memantau barangan tersebut supaya benar-benar sampai sebagaimana yang dijanjikan.

Kita akan menunggu adakah Myanmar akan mengotakan janji tersebut atau sebaliknya. Jika mereka mengotakan janji, ini memberi peluang untuk lebih banyak banyak lagi bantuan seumpama ini disalurkan. Malaysia melalui misi ini boleh menjadi perintis kepada negara lain untuk mengekspresikan keprihatinan mereka terhadap isu Rohingya ini dengan berbagai lagi bentuk bantuan kemanusiaan.

Jika mereka mungkir, maka khabar ini perlu disebar luaskan hingga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Tindakan memungkiri janji ini akan menyebabkan Myanmar dikenali sebagai kerajaan yang tidak berhati perut. Ia juga akan menjadi hujah tambahan kepada pemenang-pemenang nobel keamanan dunia lain dalam desakan mereka supaya anugerah Aung San Suu Kyi ditarik balik.

Mengulas mengenai pendirian rombongan bantuan yang akur dengan kehendak kerajaan Myanmar itu, Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, menjelaskan ia merupakan strategi diplomasi agar tidak berlaku masalah dalam misi kemanusiaan akan datang. Tambahan pula, mereka telah memberi kebenaran untuk melalui perairan Myanmar. Situasi Ini sudah boleh dikira satu perkembangan yang baik untuk jangka masa panjang.

Rombongan akan terus bergerak ke pelabuhan Chittagong, Bangladesh untuk melanjutkan misi pengagihan barangan bantuan. Destinasinya adalah kem-kem pelarian di negara terbabit. Asalnya rombongan dimaklumkan berlabuh di pelabuhan Teknaf, namun atas faktor keselamatan dan geografi perairan yang cetek, mereka diminta untuk ke Chittagong yang lebih jauh dari sempadan Rakhine.

Sama-sama kita mendoakan agar misi ini berjaya dengan selamatnya. Dan kita turut berdoa agar bantuan yang diserahkan kepada pihak berkuasa Myanmar sampai ke tangan orang Rohingya.

Siri-siri lepas:
Rohingya Dan Kita siri 1:
http://www.malaysia-today.net/rohingya-dan-kita-siri-1-syria-di-seberang-lautan-nampak-rohingya-di-depan-mata-tak-nampak/
Rohingya Dan Kita siri 2:
http://www.malaysia-today.net/rohingya-dan-kita-siri-2-rohingya-diusir-di-tanah-sendiri/
Rohingya Dan Kita siri 3:
http://www.malaysia-today.net/rohingya-dan-kita-siri-3-rohingya-boleh-cetus-asean-spring/
Rohingya Dan Kita siri 4:
http://www.malaysia-today.net/rohingya-dan-kita-siri-4-contohi-kerjasama-pas-umno/
Rohingya Dan Kita siri 5:
http://www.malaysia-today.net/rohingya-dan-kita-siri-5-persamaan-food-flotilla-malaysia-dan-freedom-flotilla-turki/

 



Comments
Loading...