Dr M, Muhyiddin berbeza nada mengenai PAS


Dalam ucapan malam tadi, Dr Mahathir menekankan gandingan PPBM dan PH sementara Muhyiddin meminta pembangkang ketepikan perbezaan mereka.

(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi dilihat berbeza nada mengenai keperluan menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Dalam ucapan mereka di majlis kenduri rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Paya Jaras malam tadi, Dr Mahathir menekankan gandingan PPBM, PKR, DAP dan Amanah sementara Muhyiddin meminta pembangkang ketepikan perbezaan mereka.

Muhyiddin, yang berucap sebelum Dr Mahathir memaklumkan kepada hadirin akan usaha yang sedang dijalankan untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS.

Presiden PPBM menegaskan sasaran untuk berjaya PRU akan tercapai jika PH, PAS dan PPBM bersedia untuk mengetepikan perbezaan antara mereka.

“Kita sudah mulakan rundingan dengan PH baru-baru ini, telah ada permulaan untuk berbincang di peringkat jawatankuasa untuk kerusi yang harus kita perolehi.

“Kita juga sudah berunding dengan PAS untuk menentukan kalau semua parti ini boleh mengetepikan perbezaan dan mewujudkan kerjasama baru, di mana semuanya dapat dipersetujui atas dasar musyawarah dan semangat setiakawan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi yang lain-lain,” katanya.

PPBM menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dan sedang mendekati PAS bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

PAS bagaimanapun memusuhi DAP dan Amanah, 2 parti yang membentuk PH bersama PKR.

Tiba giliran Dr Mahathir berucap, pengerusi PPBM percaya gandingan PH dan PPBM mampu menyaingi BN. Beliau sebelum ini dilaporkan lebih bersedia untuk mengabaikan PAS.

“Masing-masing (parti pembangkang) berjuang untuk parti sendiri oleh itu mereka menjadi lemah. Mereka tentu tahu untuk mengalahkan BN, kita perlu jadi satu.

“Walaupun kita mempunyai 4 parti, tetapi jika dicantum dan kita tumpu kepada 1 matlamat, percayalah kita akan dapat bersaing dengan BN,” tegasnya.

Dipercayai kenyataan Dr Mahathir itu merujuk kepada PPBM, DAP, Amanah dan PKR.

Bekas perdana menteri itu pada tahun lepas menyeru semua parti pembangkang untuk bersatu dalam 1 pakatan melawan BN, kerana pertandingan pelbagai penjuru hanya akan mengurangkan peluang pembangkang memenangi kerusi pilihan raya.

Namun selepas tidak dipedulikan PAS, dan presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, Dr Mahathir menganggap parti itu membantu BN.

 



Comments
Loading...