Mahathir dan Kuda-Kudanya


Rahimi Osman

Dalam permainan politik, perkataan atau kata kerja yang melibatkan Kuda seringkali digunakan seperti ‘menjadi kuda’, ’dikuda’, ‘ditunggang’ serta ‘memperkuda’. Bagi siapa yang biasa menunggang kuda, seni menunggang kuda ini juga boleh dikatakan hampir mirip dengan seni berpolitik. Apatah lagi jika seorang ahli politik itu merupakan penunggang kuda yang berpengalaman.

Kuda dalam politik, diertikan sebagai mana-mana individu atau organisasi yang menjadi bahan tunggangan kepada orang atau organisasi lain untuk mencapai cita-cita mereka. Dalam sejarah politik Malaysia ini, kita sudah cukup kenal dan masak dengan dua individu yang paling gemar ‘memperkudakan’ sesiapa sahaja demi mencapai cita-cita mereka.

Kedua-dua ini, yang pernah menjadi pemimpin nombor satu dan dua negara pada masa dahulu, juga mempunyai minat yang sama dalam sukan berkuda.

Negara telah melihat bagaimana Anwar memperkudakan ramai penyokong, parti politik dan NGO untuk merampas kuasa daripada Barisan Nasional. Kerakusan Anwar berkuda ini akhirnya menyebabkan dia tertendang dari arena politik negara buat waktu ini.

Apa yang tidak dijangka oleh sesiapapun, bekas kuda-kuda Anwar ini akhirnya ditunggang oleh ‘arch nemesis’ Anwar sendiri, Mahathir. Apabila Anwar ke penjara buat kali kedua, Mahathir sebagai seorang ahli politik dan penunggang kuda yang berpengalaman, cepat mengatur langkah. Satu per satu kuda Anwar dipujuk supaya tunduk jinak agar mudah ditunggangnya.

DAP, merupakan kuda Anwar yang paling utama bagi merampas kuasa politik di Malaysia. Seperti seekor ‘stallion’, ianya sukar dikawal tetapi enak ditunggang. Jika Mahathir dapat menunggang ‘stallion’ ini maka mudah lah baginya untuk menjinakkan kuda-kuda yang lain. ‘Stallion’ bermaksud kuda jantan yang belum dipotong kemaluannya dan masih boleh mengawan. Kuda ini kebiasaanya mempunyai nafsu yang kuat untuk membaham kuda-kuda betina lain.

Sebab itu antara parti pertama yang dirapati oleh Mahathir adalah DAP kerana bagi Mahathir DAP merupakan parti yang paling dominan dalam pakatan pembangkang. PKR, Amanah dan lain-lain cumalah seperti kuda betina biasa yang mudah untuk dijinak.

Selain daripada parti-parti politik, Mahathir juga menggunakan sejenis lagi kuda yang dipanggil kuda trojan. Kuda-kuda trojan ini adalah mereka yang berada dalam kerajaan tetapi cuba menjadi balaci untuk menumbangkan Najib. Mahathir menyangka, dengan adanya kuda-kuda trojan ini maka mudah untuk Najib ditumbangkan.

Sangkaan Mahathir meleset,  Najib dan panglima-panglimanya (yang selalu disebut oleh Raja Petra sebagai ‘boffin boys’) tidak bodoh seperti Raja Troy untuk membenarkan kuda trojan ini terus lama dalam kubu mereka. Percaturan bijak panglima-panglima Najib ini, dalam diam dan senyap akhirnya mengakibatkan kuda-kuda trojan ini tertendang keluar dengan sekelip mata.

Setelah kuda-kuda trojan ini terkeluar dari kubu, datang lah budak-budak penjaga kandang Mahathir untuk memaksa kuda-kuda trojan ini bercakap mengenai apa yang dilihat oleh kuda-kuda ini semasa berada dalam kubu Najib. Bodohnya mereka, mereka tidak sedar bahawa kuda trojan ini adalah kuda kayu. Tidak seperti kuda politik, kuda-kuda kayu ini tidak pandai bercakap dan tidak mempunyai keberanian walaupun mereka bergelar ‘Tan Sri’.

Berbalik kepada kuda stallion tadi (DAP), kuda ini mempunyai persamaan dengan si penunggang. Si penunggang akan memastikan anaknya terus menjadi penunggang yang baik seperti seorang raja. Begitu juga dengan kuda stallion tadi, baka kuda ini akan dijaga dan dilatih menjadi seekor kuda yang hebat seperti bapanya. Jadi tidak hairanlah jika ada yang mengatakan bahawa si penunggang dan si stallion ini ‘berpakat’ untuk menaikkan anak-anak mereka.

Bagi si stallion ini pula, dia tidak boleh memenangi mana-mana pertandingan atau peperangan jika tidak mempunyai seorang penunggang yang berpengalaman. Sebab itu ianya lebih dari rela untuk ditunggang oleh Mahathir.

Persoalanya, apa akan jadi kepada kuda-kuda yang lain? Hakikatnya mereka ini akan terus ditunggang selagi boleh. Selagi mereka boleh menari seperti seekor kuda dressage, maka mereka akan terus disuruh menari untuk menarik perhatian dan hati penonton. Selesai menari, mereka akan dimandikan, dikurung dalam kadang dan diberikan ‘carrot’ oleh penunggang. Itu sahaja.

PPBM pula tidaklah jauh jika disamakan dengan budak-budak kandang, walaupun mereka cuba berlagak menjadi Bahadur. Budak-budak ini cuba untuk menumpang kuda-kuda yang ada dikandang untuk dinaiki. Untuk membolehkan mereka menunggang kuda-kuda ini, mereka perlu melayan, memujuk dan membelai kuda-kuda yang ada tadi. Itu yang terjadi pada ketika ini, budak-budak kandang ini cuba memujuk DAP, PKR dan Amanah untuk memberikan mereka kerusi dan jentera untuk bertanding dalam pilihanraya nanti.

Minggu lepas, Mahathir cuba mendekati kuda yang belum dijinakkan oleh beliau. Kuda ini, merupakan kuda yang cukup setia pada Anwar sebagai tuannya yang dahulu. Kuda ini juga digunakan oleh Anwar untuk menumbangkan Mahathir pada era reformasi 1998. Tetapi kuda ini tidak mudah menyerah kalah, mereka memberontak, memaki hamun dan mencerca ketika Mahathir cuba mendekatinya.

Kota yang dikuasai oleh Najib, panglima dan bahadur-bahadurnya ini tidak mudah untuk dirobohkan. Mahathir, budak-budak kandang dan kuda-kuda tadi lupa bahawa kebanyakan dari mereka juga pernah mendiami kota yang dikuasai Najib sekarang. Di situlah tempat mereka bermain, tidur, makan dan berak, maka segala pemikiran, perangai dan busuknya najis mereka masih tertinggal dikota tadi.

Pasukan Najib lebih bijak mengatur strategi, tindakan diam mereka untuk separuh masa pertama serangan Mahathir dan kuda-kudanya membuahkan hasil. Kerana ketakjuban dan terlebih yakin, mereka telah menggunakan segala senjata, kudrat dan helah. Mereka sebenarnya kini telah kehabisan sumber untuk menyerang, tetapi kerana ego dan sifat tidak mahu menyerah mereka terus membuat serangan dengan membuta tuli. Walaupun ada yang pecah kepala kerana ditunggang dengan laju untuk merempuh tembok.

Bagi tentera Najib yang berada dalam kota, serangan ini amat mudah untuk ditangkis. Tidak perlu menggunakan senjata berat ataupun meriam besar seperti Sultan Muhammad Fateh menawan Konstatinopel. Mereka cuma perlu melemparkan najis-najis lama yang ditinggalkan oleh pihak lawan sewaktu masih berada dalam kota dahulu. Lebih menarik apabila ada antara kuda trojan dan kuda hidup ini nanti bakal menjadi saksi antara satu sama lain mengenai najis-najis yang ditinggalkan dahulu.

Saya tidak pasti samada kuda-kuda Mahathir ini diberikan rumput kering yang cukup ataupun tidak untuk berperang. Walaupun mereka sering mencerca orang yang mempertahankan kota tadi sebagai pemakan dedak, mereka juga tidak berbeza kerana memakan rumput kering. Jika mereka tidak diberikan rumput kering, maknanya mereka cuma dihidangkan dengan ‘janji’ untuk makan carrot dan epal jika menang. Ini lebih bodoh, mereka akan mati kelaparan kerana mereka tidak mungkin akan menang!

Apa yang kuda-kuda ini tidak tahu, jika mereka sudah tua, tidak larat dan tidak dapat memberi nilai kepada tuannya, mereka samada akan dijual, disembelih ataupun disuntik. Orang putih kata ‘put to sleep’. Bagi kuda kayu seperti kuda-kuda trojan pula, ianya dicampak ke laut ataupun dibakar.

 



Comments
Loading...