Tanggapan Negatif Tun M Terhadap PAS Tak Pernah Berubah


Belum pernah sekalipun beliau meminta maaf di atas perlakuan beliau ini tidak sebagaimana yang beliau lalukan ke atas DAP.

Zaini Ghani, KL Express

Jika benar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohaamd mahu bekerjasama dengan PAS, beliau perlu digesa menarik balik segala selaran, kritikan dan kutukan yang beliau hamburkan terhadap PAS dan dasar perjuangan parti Islam itu suatu ketika dahulu.

Menurut Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, bekas Perdana Menteri itu perlu segera memohon maaf di atas segala kezaliman yang beliau lakukan terhadap PAS memandangkan sejak 1978 hingga sekarang, pelbagai selaran, kritikan dan kutukan telah dibuat oleh Tun terhadap PAS.

“Belum pernah sekalipun beliau meminta maaf di atas perlakuan beliau ini tidak sebagaimana yang beliau lalukan ke atas DAP.

“Kesimpulannya, jika masih ada di kalangan pimpinan PAS yang mahu bekerjasama dengan PPBM, khususnya mereka yang hanya mula berjinak-jinak dengan PAS pada era 1990-an, ketahuilah bahawa pendirian Tun Dr Mahathir terhadap PAS dan dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah,” ujarnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarul, dalam pada itu turut menjelaskan bahawa dia tidak merasa pelik dengan pelbagai kenyataan negatif yang dihamburkan oleh Tun Dr Mahathir terhadap PAS dan dasar perjuangannya walaupun pada masa yang sama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin, dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz, masih cuba mendekati PAS.

Jelas Kamarul, ini kerana sejak Tun Mahathir masih belum bergelar Perdana Menteri lagi dan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1978, beliau  telah menunjukkan sikap permusuhan yang luar biasa terhadap PAS.

“Contoh ketara adalah tuduhan terbuka yang beliau buat pada tahun 1978 bahawa “PAS lebih berbahaya daripada komunis”.

“Ekoran tuduhan ini, Dewan Ulama’ PAS Pusat pun membuat keputusan mendesak Tun Dr Mahathir menariknya balik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir, di dalam surat balas beliau kepada surat Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Datuk Nik Abdul Aziz, bertegas mempertahankan tuduhan beliau ini.



Comments
Loading...