Pintu terbuka buat PAS – Dr Mahathir


(Berita Harian) – Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup mengenepikan pendiriannya demi memastikan masa depan politiknya cerah apabila membuka pintu rundingan buat PAS bagi menjalinkan pakatan pilihan raya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, pihaknya masih menaruh harapan terhadap PAS bagi membentuk pakatan pilihan raya biarpun tempoh sebulan untuk memberi kata dua akan berakhir 17 Mac ini.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pintu bagi proses rundingan sentiasa terbuka biarpun sehingga kini, tiada tanda positif dari PAS.

“Saya mengakui terdapat segelintir kumpulan dalam PAS yang menunjukkan sikap tidak menyukai soal pembentukan terbabit tetapi apa yang penting, adalah pendirian parti yang dinaungi Datuk Seri Hadi Awang itu dalam membuat keputusan.

“Setakat ini PAS belum menunjukkan sikap yang menyenangkan hati malah ada serangan dibuat terhadap PPBM termasuk panggil saya perompak…begitu banyak serangan dibuat terhadap saya,” katanya di pejabat PPBM Kedah, di sini sebentar tadi.

Bulan lalu, Dr Mahathir memberi tempoh sebulan buat PAS bagi memuktamadkan keputusan berhubung penyertaan parti itu dalam pakatan pembangkang.

Tempoh itu memadai dan jika tiada keputusan dicapai, pakatan pembangkang sedia melepaskan PAS daripada menganggotai gabungan terbabit.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya segelintir kumpulan dalam PAS tidak senang dengan cadangan terbabit tetapi sebahagian lagi berminat dengan pakatan pilihan raya itu.

“Nak tutup pintu langsung tidaklah (walaupun selepas 17 Mac), jika orang datang dengan cadangan yang baik…kita sedia berbincang namun sampai lah nak jumpa Presiden pun tak boleh…tak bolehlah kita hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pula,” katanya.

 



Comments
Loading...