PPBM belum pasti Dr M bertanding di Langkawi


Buat masa ini bekas perdana menteri itu hanya ketua penaja parti di Langkawi, kat setiausaha agung PPBM

(FMT) – Tiada kepastian Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di Langkawi, Kedah pada pilihan raya umum akan datang, kata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

“Tidak ada cerita soal bertanding buat masa ini. Saya tidak tahu pula. Dr Mahathir hanya dilantik sebagai Ketua Penaja PPBM Langkawi,” kata Setiausaha Agung Datuk Sharuddin Md Salleh kepada FMT.

Beliau ditanya selepas Dr Mahathir mencabar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz bertanding di pulau lagenda itu selepas Nazri mencabar bekas perdana menteri itu bertanding di Parlimen Padang Rengas pada PRU-14.

Nazri membuat cabaran itu selepas mendapat tahu pengerusi PPBM itu akan menyertai lawatan parti ke Padang Rengas lewat bulan ini.

Nazri berkata cabaran itu akan dipanjangkan kepada Presiden PPBM Datuk Seri Muhyiddin Yassin jika Dr Mahathir tidak menyahutnya.

Dr Mahathir dipilih mengetuai PPBM Bahagian Langkawi pada Februari.

Sepanjang tempoh menjadi perdana menteri, Dr Mahathir memberi banyak tumpuan kepada pulau itu, antaranya mengisytiharkan Langkawi kawasan bebas cukai untuk mengalakkan aktiviti perdagangan dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk membawa pembangunan.



Comments
Loading...