Zairil tak faham Islam, PAS jawab gelaran ‘tabligh’


PAS mempertahankan dasar kepimpinan semasanya dan berkata ia masih sama seperti era Nik Aziz.

(FMT) – PAS menganggap Zairil Khir Johari tidak faham Islam, selepas pemimpin kanan DAP Pulau Pinang itu menyifatkan PAS umpama jemaah tabligh kerana tidak berminat memenangi pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ahli Parlimen Bukit Bendera itu memperjuangkan idea sosialis dan tidak memahami perjuangan PAS.

“Zairil pemimpin beragama Islam yang tak faham prinsip dan dasar Islam dalam berpolitik,” kata Khairuddin kepada FMT.

“Zairil kena belajar lebih banyak tentang Islam, bukan hanya belajar ilmu sosialis.”

Semalam, Zairil dalam penulisannya mempersoalkan haluan perjuangan PAS yang kini lebih mementingkan perjuangan agama berbanding meraih sokongan politik.

Naib pengerusi DAP Pulau Pinang itu turut menuduh PAS lari daripada perjuangan arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata dasar Nik Aziz dan pimpinan lain parti itu masih sama, iaitu bekerjasama dengan DAP selagi mana DAP tidak menentang agenda Islam yang dibawa PAS.

“Apabila DAP mula menyerang Islam dan agenda politik PAS, maka PAS mesti putuskan kerjasama dengan DAP. DAP adalah punca kerosakan Pakatan Rakyat dengan agenda mereka yang merosakkan,” katanya.

Menurutnya, PAS merupakan parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai dasar perjuangan.

“Negara mesti ditadbir berdasarkan prinsip Islam yang akan memberi kemakmuran dan kebaikan kepada semua rakyat.

“Ia terbukti sepanjang ratusan tahun khilafah Islam memerintah sebahagian besar dunia ia memberi kemakmuran bagi semua,” katanya.



Comments
Loading...