13 Mei: Pendirian Kit Siang diselar
(Utusan Malaysia) – Penasihat DAP, Lim Kit Siang diselar kerana cuba berlagak seperti tidak bersalah di dalam peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 dengan mendakwa dia berada di Kota Kinabalu, Sabah dan bukannya di Kuala Lumpur pada waktu itu.
Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin berkata, penafian Kit Siang itu adalah satu hujah yang mungkin boleh diterima oleh kanak-kanak yang berada di sekolah rendah sahaja.
“Kit Siang memberi alasan dia tidak boleh dipersalahkan atau tidak terlibat dalam rusuhan kaum 13 Mei 1969 kerana berada di Kota Kinabalu pada itu.
“Ia seperti mengatakan Leon Trotsky tidak boleh dipersalahkan atau tidak terlibat dalam Revolusi Rusia kerana dia berada di New York dan tidak berada di St Petersburg pada hari Tsar Nicholas II digulingkan,” katanya di dalam portal malaysia-today.net.
Kit Siang sebelum ini berkali-kali menafikan penglibatannya di dalam rusuhan 13 Mei 1969 dengan memberi alasan dia tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969.
Menurut Raja Petra, insiden rusuhan 13 Mei 1969 tidak bermula pada tarikh itu tetapi ia dibina menerusi beberapa siri peristiwa yang akhirnya mencetuskan rusuhan tersebut.
“Insiden 13 Mei sendiri sebenarnya dicetuskan pada 10 Mei 1969, apabila Kit Siang berulang-alik antara Melaka dan Kuala Lumpur.
“Malah, Kit Siang bukan satu-satunya orang yang melarikan diri dari Kuala Lumpur dan menyembunyikan diri pada 13 Mei 1969,” katanya.
Ini kerana, Raja Petra berkata, menurut aktivis politik, mendiang MGG Pillai pada 13 Mei 1969 Kuala Lumpur adalah sepi.
“Semua orang penting daripada telah meninggalkan Kuala Lumpur dan menyembunyikan diri. Mereka mengetahui 24 jam sebelum itu bahawa 13 Mei yang akan berlaku,” katanya.